Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPagoh – Pementasan teater bertajuk Entiti: Storyteller yang berlangsung di Auditorium 6, Kemudahan Gunasama Edu Hub Pagoh baru-baru ini membawa mesej kemanusiaan dan kerohanian.
Teater anjuran Kelab Family Artistic Matters Entertainment (FAME) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh ini diolah berasaskan pendekatan psikologi dan simbolik dengan memberikan penekanan terhadap emosi manusia, pengalaman terhadap kehilangan serta konflik dalaman yang dilalui dalam realiti kehidupan.
Berinspirasikan daripada Surah Ali ‘Imran ayat 185 yang bermaksud, “Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati”, naratif pementasan ini mengajak penonton untuk merenungi sifat kehidupan yang sementara, proses penerimaan takdir (reda), serta kepentingan untuk terus melangkah ke hadapan selepas berdepan dengan kehilangan.

Selari dengan nilai Islam, pementasan ini secara jelas mengelakkan sebarang unsur provokasi atau pelibatan dengan alam ghaib, sekali gus memastikan batasan etika dan kerohanian sentiasa terpelihara sepanjang pementasan berlangsung.
Selain aspek artistik, pementasan ini turut menitikberatkan kepentingan kesedaran rohani dalam kalangan ahli jawatankuasa yang terlibat.
Beberapa hari sebelum pementasan diadakan, sesi murabbi telah dilaksanakan dan amalan doa bersama diamalkan sebagai usaha untuk kekal fokus sepanjang perjalanan projek ini.
Pendekatan tersebut secara tidak langsung memperkukuh kefahaman tentang kepentingan niat yang ikhlas, usaha yang berterusan, serta kebergantungan sepenuhnya pada Allah SWT.
Pementasan tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pelajar UIAM Pagoh dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Pagoh, selain kehadiran para pensyarah serta alumni UIAM Pagoh.
Sambutan yang memberangsangkan ini jelas mencerminkan sokongan dan minat komuniti akademik terhadap pementasan seni yang membawa mesej bermakna dan sarat dengan nilai murni.
Secara keseluruhannya, pementasan Entiti: Storyteller bukan sekadar sebuah persembahan seni pentas, malah berperanan sebagai medium penyampaian mesej yang mendidik dan menyentuh jiwa.
Melalui pendekatan naratif yang sarat dengan nilai kemanusiaan dan kerohanian, pementasan ini berjaya membuka ruang refleksi kepada penonton tentang realiti kehidupan, kehilangan dan kekuatan untuk bangkit meneruskan perjalanan hidup.
Kejayaan pementasan ini turut membuktikan bahawa seni teater mampu menjadi wadah yang berkesan untuk menyemai kesedaran, memperkukuh nilai dan menyatukan masyarakat kampus.