Diterbitkan pada 19 Januari 2026, 16:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pertubuhan Pencinta Teater Himpunan Dayacipta Selangor dan Wilayah Persekutuan (Teater Hidayah) semalam menyambut ulang tahun ke-40 selepas empat dekad penubuhannya.

Teater Hidayah telah ditubuhkan pada 18 Januari 1986 sebagai pertubuhan yang bergiat aktif menerbitkan dan mementaskan teater serta mempromosikan warisan negara.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Puan Hidayatul ‘Ein Mohammad Azmi mengucapkan tahniah kepada Teater Hidayah atas sambutan ulang tahun tersebut, selain merakamkan ucapan terima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana sentiasa menyokong kegiatan Grup Teater Hidayah sejak sekian lama.

Puan Hidayatul ‘Ein Mohammad Azmi ketika menyampaikan ucapan dalam majlis sambutan ulang tahun ke-40 penubuhan Teater Hidayah.

“Saya berharap keprihatinan dan bantuan ini diteruskan, sekali gus memberikan semangat kepada Teater Hidayah untuk kekal aktif,” katanya

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis Teater Hidayah 40 Tahun dengan tema “Kisah Kita, Pentas Kita, Selamanya” di Laman Budaya JKKNWPKL semalam.

Antara aktiviti terbaharu Teater Hidayah termasuklah menjadi penganjur bersama pementasan teater Panglima Garang: Pengkisahan Sejarah Negeri Selangor pada 7 November 2025 hingga 9 November 2025 di Auditorium DBP.

Terdahulu, pengasas Teater Hidayah, Tuan Haji Kamarul AR turut menyampaikan ucapan alu-aluan sambil diselangi dengan sajak dan mengenang kembali sejarah kegiatan Teater Hidayah.

Antara lain beliau mengenang ruang yang diberi oleh Pertubuhan Melayu Bukit Bintang untuk mementaskan sebuah tablo kisah perjuangan di Auditorium DBKL, kemudian menetapkan penubuhan Teater Hidayah di Medan Tuanku.

Beliau turut menyebut tentang persembahan sulung Teater Hidayah, Tiada Gendang Mengiringi Tari di Panggung Drama, diikuti purbawara Debat dan Cucu Tok Jinda, serta Biar Mati Anak dan Mawar di Pasar Seni.

Teater Hidayah semakin pesat dengan pementasan teater Seruan Damai, Masih Terpendam Jua, Si Bongkok Tanjung Puteri, Semenanjung, Vakum, Tanah, Warung, Kota Idaman dan 13 Sempadan.

Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian oleh penyanyi veteran Zack Kool, pelakon Mubarak Majid, demonstrasi silat oleh grup Melewar Teater Hidayah, serta sesi memotong kek Teater Hidayah 40 Tahun.

Turut hadir ialah Pengarah DBP Wilayah Tengah, Puan Nurul Julia Alani Henry; Pengarah Bahagian Pengukuhan Seni Budaya JKKN, Encik Saifulkhairi Ahmad; Pegawai Kebudayaan JKKN Selangor, Puan Nurul Amira Norhasdi; Timbalan Pengarah Bahagian Pengembangan Seni Budaya, Encik Amirul Azam Ibrahim; tokoh budaya, teater, lagu rakyat dan syair, YBhg. Datuk Roslan Madun; Timbalan Pengerusi Teater Hidayah, Puan Siti Sarah Ahmad Jamil; dan Setiausaha Teater Hidayah, Encik Mohd. Yazid Asril.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi