Diterbitkan pada 20 Januari 2026, 09:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pagoh – Jom Mari Bukit Kepong (JomBuKe), sebuah inisiatif berasaskan komuniti yang memfokuskan kepada Mukim Bukit Kepong mendapat Anugerah Emas dan Anugerah Paling Berimpak dalam Simposium University in Action ke-8 anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berlangsung di Fasiliti Gunasama, Pusat Konvensyen, Bandar Universiti Pagoh pada 16 Januari 20125 yang lalu.

Anugerah ini diberikan atas usaha murni projek tersebut untuk memperkasakan warisan tempatan, identiti dan pemprofilan komuniti Bukit Kepong secara mendalam.

Pasukan projek telah bekerjasama rapat dengan penduduk setempat untuk memahami mukim tersebut sebagai sebuah ruang yang hidup dan berkembang, dibentuk oleh memori, titik peluh dan pengalaman kolektif. Langkah ini diambil bagi menghargai kekayaan budaya mukim tersebut yang melangkaui naratif tragedi yang berlaku 76 tahun lalu.

Pembentang dan penasihat projek menerima anugerah Projek Paling Berimpak.

Susulan kejayaan dalam simposium tersebut, JoMBuKe kini melangkah ke hadapan dengan dua inisiatif utama bagi memastikan impak jangka panjang dan ketersediaan kepada orang awam.

Inisiatif pertama ialah Penerbitan Buku Mewah (Coffee Table Book) yang didedikasikan khas untuk Mukim Bukit Kepong sebagai arkib visual dan naratif. Buku ini menghimpunkan koleksi foto, kisah menarik, segala maklumat perhubungan perusahaan, pendokumentasian budaya serta tradisi dan sejarah yang dikumpulkan sepanjang projek berlangsung.

Matlamatnya adalah untuk memelihara warisan tempatan serta memperkenalkan Bukit Kepong sebagai tapak kepentingan budaya dan sejarah kepada khalayak yang lebih luas.

Inisiatif kedua ialah Bengkel Wikimedia yang bertujuan melatih peserta dengan kemahiran pendokumentasian Bukit Kepong secara digital melalui platform seperti Wikipedia dan Wikimedia Commons.

Usaha ini memperkasakan komuniti dan ahli projek untuk menyumbang maklumat tempatan yang tepat ke ruang digital global. Hasilnya, jumlah foto di bawah kategori Bukit Kepong dalam Wikimedia Commons telah meningkat secara drastik daripada 10 keping kepada 167 keping.

Penerimaan dua anugerah tersebut mengesahkan komitmen projek terhadap penyelidikan berimpak dan penglibatan komuniti, sekali gus membuktikan keberkesanan integrasi antara usaha akademik dengan gerakan akar umbi.

JoMBuKe berhasrat meletakkan Bukit Kepong pada persada yang sewajarnya tanpa hanya menyandarkannya kepada tragedi semata-mata.

Projek ini menjadi contoh bagaimana naratif tempatan yang didokumentasikan dengan teliti mampu membuka minda masyarakat terhadap keindahan tulen Bukit Kepong, selari dengan seruan namanya, JoMBuKe.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi