Diterbitkan pada 7 Februari 2026, 15:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengadakan sesi libat urus bersama-sama dengan penggiat industri bagi mengukuhkan perancangan Kempen Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YBhg. Dato Sri Tiong King Sing menghadiri sesi perbincangan tersebut yang berlangsung di Dewan Sanggar Pujangga, MOTAC pada 3 Februari 2026 yang lalu.

Menurut kenyataan MOTAC, sesi ini bertujuan mewujudkan platform perbincangan berstruktur bagi memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan dengan industri pelancongan negara.

Menerusi dialog ini, MOTAC berpeluang mendapatkan pandangan, maklum balas serta cadangan daripada penggiat industri tentang isu, cabaran dan peluang semasa yang dihadapi oleh sektor pelancongan.

Input daripada pihak industri ini penting bagi membantu kementerian memantapkan perancangan serta pelaksanaan dasar dan inisiatif secara lebih berkesan dan berimpak tinggi, terutamanya untuk menjayakan kempen TMM2026.

YBhg. Dato Sri Tiong King Sing menegaskan komitmen berterusan MOTAC dalam usaha memastikan pendekatan yang inklusif dan berfokuskan industri ketika merangka dasar pelancongan negara.

Beliau berkata, pendekatan ini sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menyasarkan pembangunan industri pelancongan, seni dan budaya negara yang mampan dan berdaya saing pada peringkat antarabangsa.

“MOTAC merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua penggiat industri yang hadir. Sesi ini mampu memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan dengan industri ke arah pertumbuhan sektor yang lebih kukuh dan berdaya tahan,” menurut kenyataan kementerian itu.

Turut hadir dalam sesi tersebut Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Encik Chiew Choon Man; Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot; Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Encik Amirul Rizal Abdul Rahim serta pengurusan tertinggi MOTAC.

Kempen TMM2026 merupakan inisiatif penting kerajaan bagi menarik lebih banyak pelancong asing ke Malaysia sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi