Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Tourism Malaysia telah mengumumkan HWC Coffee sebagai rakan strategik bersempena dengan Kempen Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dalam satu majlis yang diadakan di Centre Court, Pavilion Bukit Jalil.
Kerjasama strategik ini menandakan perkongsian penting antara agensi pelancongan negara dengan jenama kopi terkenal tempatan, dan bertujuan menyediakan pengalaman berasaskan kopi yang unik kepada pelawat domestik dan antarabangsa.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Encik Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, kerjasama dengan sektor swasta penting bagi memperkukuh dan membangunkan ekosistem pelancongan negara.
“Pelancong hari ini semakin dipacu oleh pengalaman. Melalui kerjasama strategik seperti ini, kita dapat menempatkan TMM2026 dalam kehidupan masyarakat, meningkatkan kesedaran global, serta meletakkan Malaysia sebagai destinasi yang menawarkan pengalaman pelancongan yang kaya, menarik dan kontemporari,” katanya.
Beliau menekankan bahawa kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan Tourism Malaysia untuk meluaskan capaian dan meningkatkan keterlihatan TMM2026 melalui inisiatif inovatif berasaskan pengalaman.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HWC Coffee, Cik Zenda Ng berkata, setiap cawan kopi HWC disediakan dengan penuh ketelitian oleh barisan barista yang terlatih bagi memastikan kualiti serta konsistensi yang tinggi.
“Kopi pada masa ini bukan sekadar minuman, malah berperanan sebagai medium antarabangsa yang menyatukan masyarakat daripada pelbagai budaya dan latar belakang,” katanya.
Melalui kerjasama strategik dalam kempen TMM2026, HWC Coffee berhasrat untuk mewujudkan pengalaman yang bermakna, sekali gus menghargai kehangatan, kreativiti dan budaya kesopanan terkenal Malaysia melalui hidangan kopi istimewa.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, barangan edisi khas hasil kerjasama dengan HWC Coffee akan dilancarkan mulai 11 Februari 2026 bagi menggalakkan interaksi pengunjung. Sebanyak 10 000 item bernilai RM88,000 akan diedarkan di seluruh negara.
Kerjasama ini juga akan diperluas dengan pengenalan produk promosi berinspirasi Malaysia, termasuklah koleksi TMM2026 yang menampilkan maskot rasmi Wira dan Manja, dan dijadualkan dilancarkan pada suku kedua tahun 2026.