Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Pementasan semula Teater Tralokal Gamelan Tari Tenun Berurai Emas yang berlangsung di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah baru-baru ini telah mendapat perkenan Kebawah Duli Paduka Baginda (KDPB) Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Keberangkatan baginda diiringi oleh Pembesar Berempat Pahang Orang Kaya Indera Pahang, YDH Dato’ Seri Wan Haji Abdul Wahid Haji Wan Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar bin Dato Sri Najib.
Ketika sesi bersama-sama krew produksi, pelakon dan pengarah teater, baginda berkenan bertitah agar rakyat Pahang menghayati seni dan budaya Pahang dengan membaca buku, khususnya tentang seni tari dan gamelan yang baginda sendiri karang.
Selain itu, selaras dengan saranan kerajaan tentang keutamaan mempelajari sejarah, baginda juga bertitah agar rakyat Pahang membaca sejarah Hukum Kanun Pahang yang menjadi tonggak undang-undang oleh Kesultanan Pahang.
Naskhah Tralokal Teater Gamelan Tari Tenun Berurai Emas hasil karya Syahidatul Munirah Badrul Munir mengisahkan kemelut perjuangan Sultan Ahmad Muadzam Shah bersama-sama para pahlawan Pahang pada kurun ke-18 menentang Residen British pertama di Pahang, J.P. Rodger.
Persembahan yang diselangi setiap babaknya dengan paluan gamelan turut mencitrakan sejarah muzik gamelan yang bertapak di Pahang, dan kemudiannya dibawa ke Terengganu melalui perkahwinan diraja.
Menariknya naskhah teater tersebut turut diadun dengan gemalai seni tari Pahang dan langkah tangkas seni silat, termasuklah paluan rebana yang melatari nazam dan rejang. Di pentas teater ini juga menampilkan ketangkasan pahlawan Pahang seperti Mat Kilau dan Datuk Bahaman, termasuk keperibadian agamawan, Tok Ku Paloh.
Pementasan semula teater ini diadakan bersempena dengan Tahun Melawat Pahang 2026, Kerajaan Negeri Pahang melalui Majlis Kebudayaan Negeri Pahang dan Gema Citra Pahang IST serta disokong oleh Tourism Pahang, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Pahang, dan Jabatan Penyiaran Pahang.
Turut hadir termasuklah Pegawai Daerah Kuantan, YH Dato’ Sharuddin Jali; Pengarah Dasar dan Perancangan Strategik DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; dan Pengarah Jabatan Penyiaran Pahang, YBrs. Ts. Khairuddin Haji Osman.
Sebagai rekod, teater tralokal ini pernah dipentaskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada 30 dan 31 November 2025.