Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Balai Seni Negara mempersembahkan Pameran Perolehan Terkini 2015–2025: “Satu Dekad Penuh Cerita”, sebuah pameran yang menampilkan karya terpilih daripada Koleksi Seni Visual Negara yang diperoleh sepanjang tempoh sepuluh tahun yang lalu.
Menurut Balai Seni Negara, pihaknya sebagai institusi peneraju seni visual negara komited untuk memperkaya dan memperkukuh Koleksi Seni Visual Negara melalui proses perolehan yang berlandaskan kajian, penelitian serta rujukan pakar dalam bidang seni visual.
“Sepanjang tempoh 2015 hingga 2025, sebanyak 279 karya seni visual telah berjaya diperoleh, dan daripada jumlah tersebut, 88 karya dipilih untuk dipamerkan dalam pameran ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Balai Seni Negara berkata, pameran ini mengetengahkan pelbagai manifestasi kreatif yang merangkumi isu sosial, budaya, politik dan teknologi, sekali gus mencerminkan perkembangan pesat dan kepelbagaian landskap seni visual tempatan untuk mendepani perubahan zaman.

Tambahnya, kepelbagaian medium, pendekatan dan wacana yang dipersembahkan memperlihatkan peranan karya seni sebagai rakaman visual terhadap naratif serta pengalaman masyarakat Malaysia.
“Pameran Perolehan Terkini 2015–2025: “Satu Dekad Penuh Cerita” bukan sekadar himpunan karya, malah merupakan dokumentasi visual terhadap evolusi pemikiran, eksperimen artistik dan respons seniman terhadap konteks semasa,” katanya.
Tambahnya, pameran ini turut memperkukuh hubungan antara seni visual dengan masyarakat, di samping menzahirkan komitmen berterusan untuk memelihara, mendokumentasi serta menjamin kelestarian Koleksi Seni Visual Negara untuk tatapan generasi akan datang.
Orang ramai dijemput mengunjungi pameran ini di Galeri 2A, Balai Seni Negara, yang berlangsung hingga Disember 2027 bagi menghayati keunikan dan kepelbagaian karya yang membentuk landskap seni negara sepanjang satu dekad.