Diterbitkan pada 13 Mac 2026, 16:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pencalonan bagi Anugerah Seni Negara 2026 (ASN 2026) kini dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia mulai 12 Mac 2026 hingga 11 Mei 2026 bagi mencari tokoh seni yang telah memberikan sumbangan besar terhadap perkembangan seni tanah air.

Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), pencalonan itu meliputi lima bidang utama, iaitu seni muzik, seni tari, seni lakon, seni kraf dan seni visual.

Ujarnya, pencalonan bagi kategori Anugerah Seniman Negara dan Anugerah Karyawan Seni dibuka kepada orang ramai termasuklah individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan serta institusi pengajian tinggi.

“MOTAC mengalu-alukan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang untuk mencalonkan semua penggiat seni dalam bidang yang dinyatakan untuk dipertimbangkan sebagai Seniman Negara dan Karyawan Seni,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Borang pencalonan dan keterangan lanjut boleh dicapai melalui www.motac.gov.my dan semua borang pencalonan yang lengkap berserta dokumen sokongan boleh dikemukakan melalui e-mel atau serahan tangan kepada Bahagian Dasar Kebudayaan MOTAC di Putrajaya.

Walau bagaimanapun, katanya, pencalonan bagi Anugerah Pendukung Seni pula hanya dibuka kepada jabatan serta agensi di bawah MOTAC.

“Bagi penganugerahan tahun ini, hanya seorang tokoh akan dipilih sebagai penerima Anugerah Seniman Negara, manakala lima lagi akan menerima Anugerah Karyawan Seni yang mewakili setiap bidang seni,” maklumnya.

Selain itu, ujarnya, tiga penerima turut dipilih bagi kategori Anugerah Pendukung Seni melibatkan kategori media, korporat dan badan bukan kerajaan.

Menurut MOTAC, individu yang dicalonkan meatilah warganegara Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam bidang seni masing-masing sekurang-kurangnya 25 tahun serta masih aktif berkarya.

Tambahnya, calon juga perlu menunjukkan bakat yang tinggi secara berterusan dan konsisten, serta melahirkan karya hebat yang memberikan impak kepada industri seni.

Ujarnya lagi, tokoh yang dicalonkan juga perlu memainkan peranan untuk membimbing serta membentuk bakat baharu di samping menunjukkan kepimpinan dalam bidang seni pada peringkat negeri, kebangsaan atau antarabangsa.

Selain itu, calon juga perlu mencapai tahap kecemerlangan dan menunjukkan kewibawaan dalam bidang seni masing-masing.

Bagi kategori Seniman Negara, penerima bakal menerima wang tunai sebanyak RM60,000 berserta watikah penganugerahan dan trofi ASN.

“Penerima turut diberikan beberapa keistimewaan lain termasuklah sepasang pakaian kebangsaan, peluang sebagai Seniman Tamu MOTAC berserta insentif bagi penghasilan karya baharu,” katanya.

Menurut MOTAC, penerima juga akan menikmati kemudahan rawatan di hospital kerajaan serta penerbitan khas berkaitan tokoh Seniman Negara.

Katanya, bagi Anugerah Karyawan Seni pula, setiap penerima akan menerima wang tunai RM30,000 selain watikah dan trofi ASN, manakala penerima Anugerah Pendukung Seni akan menerima wang tunai RM10,000 berserta watikah dan trofi penganugerahan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi