Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMiri – Program Miss SHOPhia Raya Happy Hour kembali memeriahkan Bintang Megamall, Miri dari 13 Mac 2026 hingga 15 Mac 2026 bersempena dengan kempen Malaysia Super Sale 2026.
Menurut Tourism Malaysia, program selama tiga hari ini menampilkan pelbagai promosi jualan istimewa, persembahan kebudayaan dan aktiviti kekeluargaan bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Kempen Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
“Bagi mengimarahkan lagi bulan Ramadan, Tourism Malaysia dengan kerjasama Pullman Waterfront Miri, Meritz Hotel Miri dan Miri Marriott Resort & Spa turut mengedarkan bubur lambuk kepada para pengunjung sepanjang program berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Tuan Chiew Choon Man ketika berucap dalam program berkenaan berkata, program ini bukan sahaja menggalakkan aktiviti membeli-belah, malah berupaya meningkatkan ketibaan pelawat dan merangsang perbelanjaan dalam sektor perniagaan termasuklah peruncitan, hospitaliti dan perkhidmatan.
Tambahnya, kehadiran pelawat turut menyumbang kepada kesan limpahan ekonomi jangka panjang, apabila mereka menerokai pelbagai produk pelancongan unik di Miri, sekali gus menyumbang kepada peningkatan hasil pelancongan negara.
Sebagai salah satu inisiatif utama di bawah Malaysia Super Sale 2026, program Miss SHOPhia Raya Happy Hour bertujuan menyemarakkan sektor peruncitan dan pelancongan di Miri melalui gabungan pengalaman membeli-belah dan sambutan kebudayaan yang penuh kemeriahan.
“Selain promosi jualan kilat oleh penyewa Bintang Megamall seperti Parkson, pengunjung daripada pelbagai peringkat usia turut berpeluang menikmati persembahan kebudayaan, demonstrasi masakan dan pelbagai aktiviti kekeluargaan,” tambahnya.
Ujarnya, pada masa yang sama, beberapa ejen pelancongan terpilih turut menawarkan pakej pelancongan domestik pada harga istimewa, sekali gus memberikan nilai tambah kepada pengunjung dan menyokong ekosistem pelancongan tempatan.
Menurut Tourism Malaysia, Malaysia Super Sale 2026 merupakan antara inisiatif utama kerajaan dalam usaha merancakkan aktiviti peruncitan dan pelancongan di negara ini.
Di samping itu, penganjuran program seperti ini turut memperkukuh kedudukan Miri sebagai hab kebudayaan dan beli-belah yang dinamik di Timur Malaysia, serta menarik kehadiran pelawat domestik dan antarabangsa.
“Melalui kempen ini, Malaysia terus komited mengetengahkan keunikan budaya, pengalaman membeli-belah dan kepelbagaian produk pelancongan ke persada dunia sempena TMM2026 selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” jelasnya.
Katanya, sambutan sepanjang tahun ini didedikasikan untuk mempromosikan keindahan destinasi, kekayaan budaya dan keistimewaan Malaysia kepada masyarakat global.