Diterbitkan pada 19 Mac 2026, 11:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bank Rakyat melancarkan sebuah kisah menyayat hati tentang kasih sayang seorang anak kepada ibunya melalui filem pendek bertajuk Suara Hati sempena sambutan Aidilfitri pada tahun ini.

Menurut kenyataan Bank Rakyat, filem yang sarat dengan nilai pengorbanan dan keikhlasan ini menampilkan lakonan menyentuh emosi daripada Rafique Iskandar sebagai Amin, seorang kanak-kanak lelaki yang tabah menjaga ibunya yang sakit lakonan Nadiya Nisaa. Filem pendek ini turut dibintangi oleh Sara Ali dan Firdaus Karim.

“Diarahkan oleh Husaini Shohaimi dan diterbitkan oleh Tangerine Films Sdn. Bhd, Suara Hati membawa penonton menyelami kehidupan Amin yang menjalani hari-harinya untuk terus berbakti kepada ibunya.

“Ketabahannya membuktikan bahawa kasih sayang dan tanggungjawab bukan diukur melalui usia, sebaliknya lahir daripada hati yang ikhlas,” katanya.

Tambahnya, mesej yang disampaikan melalui filem ini selari dengan komitmen Bank Rakyat yang sentiasa mendengar suara hati, hasrat dan harapan pelanggannya.

Ujarnya, sebagai institusi kewangan yang berteraskan nilai kemanusiaan dan kepercayaan, Bank Rakyat terus berusaha memahami keperluan sebenar masyarakat serta menyediakan penyelesaian kewangan yang relevan bagi membantu mereka membina masa depan yang lebih baik.

Menurutnya, penerbitan filem ini mencerminkan usaha berterusan Bank Rakyat untuk berkongsi kisah yang dekat dengan nilai kehidupan masyarakat Malaysia, khususnya semangat Aidilfitri yang menekankan penghargaan terhadap keluarga dan insan tersayang.

“Melalui Suara Hati, kami ingin mengingatkan bahawa di sebalik kesibukan kehidupan, ada insan yang sentiasa mengharapkan perhatian, kasih sayang dan penghargaan daripada kita. Aidilfitri merupakan masa terbaik untuk kita kembali kepada nilai tersebut,” ujarnya.

Suara Hati dilancarkan di platform digital rasmi Bank Rakyat termasuklah YouTube dan media sosial @mybankrakyat, membolehkan rakyat Malaysia menyaksikan kisah menyentuh jiwa ini bersama keluarga sepanjang musim perayaan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi