Diterbitkan pada 22 Mac 2026, 23:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching – Rainforest World Music Festival (RWMF) Sarawak berjaya mengukir nama di pentas antarabangsa apabila disenaraikan pada kedudukan ke-8 dalam senarai 10 festival muzik terbaik dunia oleh Transglobal World Music Chart’s 4th Festival Awards 2025.

Pengiktirafan bergengsi itu diberi oleh panel pakar antarabangsa yang terdiri daripada tokoh muzik dunia, wartawan serta penyiar terkemuka yang menjadi bukti nyata kekuatan festival yang telah berlangsung di bumi Sarawak sejak tahun 1998.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Tourism Board (STB), Dr. Sharzede Datu Salleh Askor berkata, pencapaian ini mencerminkan usaha gigih semua pihak yang terlibat termasuklah para artis, penganjur, rakan kerjasama serta komuniti setempat yang sentiasa menyumbang bakti demi kegemilangan festival tersebut.

Beliau menyampaikan ucapan itu pada Majlis Pelancaran RWMF 2026 yang berlangsung di Kuching baru-baru ini yang turut dilancarkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, YBhg. Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Dalam pada itu, Dr. Sharzede turut menekankan bahawa RWMF bukan sekadar medan hiburan, malah merupakan cerminan komitmen Sarawak terhadap pelancongan bertanggungjawab dan kelestarian alam sekitar.

Antara inisiatif hijau yang diperkenalkan termasuklah program Green Ruai yang mendedahkan para pengunjung kepada gaya hidup mesra alam, dan Green Warriors, sebuah program sukarela bagi memastikan pengurusan sisa yang bertanggungjawab sepanjang festival berlangsung.

Dengan pengiktirafan antarabangsa yang semakin kukuh, RWMF dijangka terus menarik lebih banyak pelancong dari seluruh pelosok dunia ke Sarawak, sekali gus mengangkat nama Malaysia pada mata dunia melalui kekayaan budaya dan muziknya yang tiada tandingan.

 

Kredit Foto: Sarawak Tourim Board
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi