Diterbitkan pada 31 Mac 2026, 14:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia menjadi tumpuan komuniti seni antarabangsa menerusi pameran seni cetak, IMPRINT 2026 di LRX Creative Hub, GMBB, Kuala Lumpur pada 1 April 2026 hingga 10 Mei 2026.

Kurator acara, Luqman Rosnan berkata, pameran yang bertemakan ‘Budaya’ itu memberikan tumpuan terhadap penerokaan pelbagai naratif dan identiti budaya daripada perspektif karyawan seni global.

“Pameran ini menampilkan sebanyak 178 karya yang dihasilkan oleh 143 orang pengkarya daripada 27 negara termasuk Thailand yang diwakili oleh paling banyak karyawan, iaitu 39 peserta, Turkiye (16 peserta), Mexico (14 peserta), Poland (12 peserta), Jerman (7 peserta), Jepun (6 peserta), Perancis (5 peserta).

Kurator IMPRINT 2026, Luqman Rosnan.

“Negara lain yang menyertai pameran ini ialah Argentina, Austria, Australia, Belgium, Kanada, Republik Czech, Finland, Hungary, Itali, Montenegro, Nepal, New Zealand, Macedonia Utara, Peru, Romania, Rusia, Sepanyol, Serbia dan Slovakia,” katanya

Tambahnya, selaku tuan rumah, Malaysia menghantar tujuh orang peserta, iaitu Luqman Yusry, Teh Chun Eng, Akif Nabihan, Mohd. Fadli Mokhtar, Nik Anis Iwana, Alicia Lee dan Rosyida Mohd. Rozlan.

Penganjuran IMPRINT 2026 turut menerima sokongan daripada Balai Seni Negara serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi seni dan budaya pada peringkat global.

“Pameran ini merupakan suatu inisiatif komuniti berskala besar yang bukan sahaja meraikan kepelbagaian seni cetak, malah menghubungkan pengkarya dari seluruh dunia melalui mail art, menjadikannya platform penting untuk pertukaran idea dan ekspresi kreatif,” ujarnya.

Menurut beliau, penganjuran IMPRINT 2026 juga selari dengan usaha mempromosikan Tahun Melawat Malaysia, dengan memperlihatkan kekayaan seni dan budaya tempatan kepada pelawat antarabangsa.

“Melalui pameran seperti ini, pelancong bukan sahaja dapat menikmati keindahan karya seni, malah berpeluang memahami kepelbagaian budaya Malaysia yang unik. Hal ini secara tidak langsung menyokong aspirasi Tahun Melawat Malaysia untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi pilihan pelancong berasaskan seni, budaya dan kreativiti,” katanya.

Majlis pembukaan rasmi acara tersebut dijadualkan berlangsung pada 18 April 2026, pukul 2:00 petang.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi