Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHulu Kelang – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama-sama Tourism Malaysia dalam satu langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama penggambaran antarabangsa melalui integrasi industri kreatif dan pelancongan.
Menurut FINAS, MoU ini ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dato Azmir Saifuddin Mutalib bersama-sama Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Encik Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim.
“Kerjasama ini menandakan pendekatan baharu yang memanfaatkan kandungan filem dan televisyen sebagai medium strategik untuk mempromosikan keunikan budaya, warisan serta destinasi pelancongan Malaysia kepada pasaran global,” katanya dalam satu kenyataan.
FINAS berkata, sejak diperkenalkan pada tahun 2013 hingga 2025, Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) telah menjadi pemangkin utama terhadap pertumbuhan industri dengan pencapaian seperti 243 produksi diluluskan, iaitu 129 produksi tempatan dan 114 produksi antarabangsa, RM2.86 bilion perbelanjaan langsung dijana dan lebih 31,050 peluang pekerjaan diwujudkan.
Tambahnya, pelaksanaan FIMI turut menghasilkan anggaran kesan limpahan ekonomi melebihi RM8 bilion, merangkumi sektor sokongan seperti perhotelan, pengangkutan, makanan dan minuman serta pelancongan dan perkhidmatan tempatan.
“Hal ini membuktikan bahawa industri perfileman bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi kreatif, malah memberikan impak langsung terhadap ekosistem ekonomi negara secara menyeluruh,” jelasnya.
Menurut FINAS, kejayaan Malaysia menarik produksi antarabangsa turut memperkukuh jenama negara sebagai destinasi “screen tourism”.
Ujarnya, antara contoh signifikan termasuklah penggambaran produksi antarabangsa berprofil tinggi seperti filem Hollywood, Thunderbolts terbitan Marvel Studios yang menjalankan penggambaran di sekitar Kuala Lumpur termasuklah mercu tanda ikonik Menara Merdeka 118, sekali gus mempromosikan imej Malaysia di pentas global, serta drama siri Lord of the Flies yang telah membuat penggambaran di Langkawi untuk BBC.
Jelasnya. produksi sebegini bukan sahaja meningkatkan visibiliti Malaysia, malah memberikan nilai promosi pelancongan yang sukar ditandingi melalui pendekatan konvensional.
Selaras dengan momentum ini, katanya, semasa penyertaan di Hong Kong FILMART pada Mac 2026, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS telah mengumumkan peruntukan RM300 juta bagi rebat FIMI untuk tempoh lima tahun akan datang sebagai komitmen berterusan kerajaan untuk menarik lebih banyak produksi antarabangsa berkualiti tinggi ke Malaysia.
FINAS berkata, melalui MoU ini, pihaknya akan menerajui pembangunan kandungan kreatif berimpak tinggi yang menonjolkan keunikan Malaysia, sementara Tourism Malaysia pula akan menyediakan akses kepada aset promosi strategik termasuklah bahan visual, kempen nasional dan platform global seperti Kempen Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
“Sinergi ini dijangka akan memperkukuh pendekatan pemasaran negara melalui kandungan (content-driven nation branding), selaras dengan trend global yang menggabungkan industri kreatif dan pelancongan,” ujarnya.
Jelasnya, inisiatif ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk memperkukuh ekonomi kreatif sebagai sektor berimpak tinggi dan berdaya saing.
Menurut FINAS, kerjasama ini juga dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan pelaburan produksi antarabangsa, pembangunan projek kandungan bersama, penyertaan lebih aktif dalam pasaran kandungan global dan peluasan peluang pekerjaan dalam industri kreatif.
Tambahnya, sektor pelancongan terus kekal sebagai antara pemacu utama ekonomi negara dan hasil daripada usaha serta komitmen berterusan rakan-rakan industri dan semua pihak berkepentingan, Malaysia telah mencatatkan peningkatan sebanyak 11.2 peratus dalam ketibaan pelawat antarabangsa pada tahun 2025, dengan jumlah keseluruhan mencecah 42.2 juta pelawat berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, pencapaian ini turut disokong oleh inisiatif strategik termasuklah peranan aktif Tourism Malaysia untuk mempromosikan negara pada peringkat global, selain kolaborasi rentas sektor yang memanfaatkan sinergi antara industri kreatif dengan pelancongan bagi meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi utama sempena Kempen TMM2026.