Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Simposium bersempena dengan Hari Seniman Malaysia 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada 9 April 2026 yang lalu diadakan bertujuan untuk menghargai para penggiat industri filem dan televisyen tanah air.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa industri budaya dan kreatif menyumbang sebanyak 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bersamaan dengan RM130.7 bilion pada tahun 2024, serta menyediakan lebih 763 000 peluang pekerjaan, sekali gus membuktikan peranan signifikan sektor ini sebagai pemacu ekonomi negara.
Selaras dengan hal tersebut, beberapa insentif diumumkan sebagai inisiatif dan komitmen kerajaan bagi memastikan kebajikan dan kelestarian industri kreatif, iaitu peruntukan RM300 juta bagi Insentif Penggambaran Filem di Malaysia (FIM) untuk tempoh lima tahun akan datang bagi menarik lebih banyak produksi antarabangsa dan meningkatkan peluang pekerjaan kepada penggiat tempatan.
Insentif lain ialah pelancaran Dana Citra bernilai RM10 juta yang memfokuskan pembangunan kandungan berasaskan identiti nasional yang melibatkan filem cereka, dokumentari dan filem pendek.
Selain itu, katanya, Nota Kerjasama antara FINAS dengan Jabatan Insolvensi Malaysia juga merupakan antara insentif yang akan membantu mengurangkan bebanan kewangan serta meningkatkan kesejahteraan penggiat industri.
Pada masa yang sama, FINAS sedang menghalusi pindaan Dasar Filem Negara (DFN) sebagai pelan strategik jangka panjang bagi tempoh 10 tahun akan datang, merangkumi keseluruhan ekosistem industri termasuklah animasi dan kecerdasan buatan (AI) bagi menjadikan Malaysia sebagai hab industri kandungan kreatif yang berdaya saing pada peringkat serantau dan antarabangsa.
Menurutnya, Hari Seniman disambut secara rasmi pada 22 Mac setiap tahun bersempena dengan tarikh kelahiran Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee, tetapi sambutan pada tahun ini dianjak bagi memberikan laluan kepada sambutan Aidilfitri, sekali gus membolehkan lebih banyak penggiat industri hadir dalam suasana yang lebih meriah.
Turut hadir dalam Simposium tersebut ialah Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), YB Dato’ Sri Azalina Othman Said; Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nei Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Abdul Halim Hamzah; Pengerusi FINAS, YBhg. Dato’ Hans Isaac; wakil persatuan serta penggiat seni.