Diterbitkan pada 18 April 2026, 14:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Singapura  Tourism Malaysia sekali lagi mengambil bahagian dalam Asia Dive Expo (ADEX) 2026 yang berlangsung dari 10 April 2026 hingga 12 April 2026 di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec, Singapura bagi mempromosikan keindahan destinasi bawah laut negara kepada dunia.

Pameran selam terbesar dan tertua di Asia ini menyaksikan Tourism Malaysia tampil dengan paviliun khusus yang menampilkan 12 pengendali selam terkemuka dari seluruh Malaysia, termasuklah dari Terengganu, Sabah dan Pahang.

Antara pengendali yang turut serta termasuklah Che Wan Scuba, Selamberr Dive, Ombak Dive Resort dan Perhentian Marriott Resort dari Terengganu, manakala UC Islanders Adventure, Pulau Sipadan Resort dan Semporna Aqua Planet mewakili Sabah. Juara Scuba Academy dan The Boathouse Pulau Tioman pula mewakili Pahang.

Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, penyertaan Malaysia dalam platform seperti ADEX merupakan langkah strategik bagi memperkenalkan warisan bawah laut negara kepada pelancong berkualiti dari seluruh dunia.

“Malaysia kekal sebagai destinasi selam yang ideal untuk semua peringkat penyelam, dengan suhu air antara 27°C hingga 30°C sepanjang tahun. Kami mahu menarik lebih banyak penyelam yang mahukan pengalaman bermakna sambil menjaga alam sekitar,” katanya.

Pameran pada tahun ini turut menonjolkan kepelbagaian ekosistem marin Malaysia, daripada keindahan Pulau Sipadan yang tersohor di Sabah, hinggalah ke perairan Pulau Tioman di Pahang dan tapak selam di Terengganu.

Penyertaan Tourism Malaysia di ADEX 2026 ini juga sejajar dengan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM2026) yang menekankan pembangunan pelancongan lestari sambil memartabatkan kekayaan alam semula jadi dan warisan budaya tanah air.

Selain memperkenalkan destinasi, ADEX turut menjadi platform untuk Tourism Malaysia menggalakkan amalan pelancongan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar laut demi memastikan keindahan bawah laut Malaysia terus dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi