Diterbitkan pada 19 April 2026, 15:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) akan melancarkan Kempen Jom Baca 10 Minit pada 23 April 2026 bersempena dengan Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia.

Menurut KPN, bagi tahun ini, kempen ini mengangkat tema “Membaca Membina Bangsa” selari dengan aspirasi kerajaan dalam usaha memperkukuh pembinaan negara bangsa melalui pembudayaan ilmu dan amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan sama berkata, inisiatif ini bertujuan menghidupkan amalan membaca harian dalam kalangan seluruh lapisan masyarakat.

Menurut beliau, walaupun hanya 10 minit sehari diperuntukkan untuk membaca, amalan kecil ini mampu memberikan impak besar untuk membentuk masyarakat berilmu, berfikiran kritis dan berdaya saing.

“Budaya membaca perlu dijadikan gaya hidup rakyat Malaysia dan dengan hanya 10 minit sehari, kita mampu menyemai nilai ilmu yang akan menjadi asas kepada pembinaan masyarakat madani dan negara yang lebih maju,” katanya.

Seiring dengan misi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pembaca menjelang tahun 2030, KPN akan terus mempergiat dan melipatgandakan pelaksanaan program galakan membaca secara inklusif dan berterusan.

Sehubungan dengan itu, kementerian menyeru semua pihak tanpa mengira latar belakang, iaitu penjawat awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar sekolah, mahasiswa institusi pengajian tinggi, golongan belia, sektor swasta dan korporat untuk bersama-sama menyertai kempen ini dan menjadikan membaca sebagai amalan harian.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi