Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Pendigitalan Koleksi dan Pameran Maya Muzium Alam Semula Jadi merupakan langkah strategik Jabatan Muzium Malaysia (JMM) untuk mengintegrasikan teknologi terkini seperti Realiti Terimbuh (AR) dan Realiti Maya (VR) dalam sektor permuziuman negara.
Dalam satu kenyataan, JMM berkata, usaha ini dilaksanakan di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) Rolling Plan 5 (RP5) yang merangkumi pembangunan pameran maya, pendigitalan koleksi, serta latihan teknikal bagi kakitangan dalaman.
Katanya, sebanyak 255 koleksi telah berjaya didigitalkan, merangkumi 135 koleksi etnologi dan 120 koleksi alam semula jadi.
“Artifak ikonik yang kini boleh diakses secara digital termasuklah Bendera Pertama Persekutuan Tanah Melayu, Piala Bola H.M.S Malaya, Celepa Diraja Terengganu termasuklah Patung Avalokiteshvara yang merupakan Objek Warisan Kebangsaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara (KPN), YBhg. Dato’ Haslina Abdul Hamid berkata, program pendigitalan koleksi ini juga merupakan usaha kementerian untuk membolehkan koleksi artifak khususnya yang bersifat nadir dan sensitif dilindungi, didokumen secara sistematik dan diakses secara terkawal.

Tambah beliau, usaha ini sekali gus membantu menyeimbangkan dua peranan muzium, iaitu perlindungan koleksi artifak dan alam semula jadi, serta penyebaran ilmu pengetahuan kepada masyarakat dengan cekap, pantas dan berkesan.
Menurut JMM, fasa pertama pameran ini memaparkan 120 spesimen yang dihasilkan melalui imbasan digital 3D daripada spesimen asal yang diawet.
“Orang ramai boleh menikmati pengalaman ini secara fizikal melalui peralatan VR di muzium mahupun secara dalam talian melalui laman sesawang rasmi Pameran Maya Muzium Alam Semulajadi di masvirtual360.jmm.gov.my,” katanya.
Tambahnya, sebagai tarikan utama, pameran maya ini menawarkan pengalaman imersif melalui lapan segmen utama yang merangkumi naratif sejarah pengumpulan spesimen sejak 1880-an, segmen kepelbagaian biodiversiti seperti mamalia dan hidupan marin, serta elemen interaktif yang membolehkan pengunjung menonton video kaedah pengawetan dan menguji kefahaman melalui kuiz.
JMM menyasarkan purata 7500 kunjungan maya sebulan dalam tempoh satu tahun pertama pelancaran.
Ujarnya, inisiatif ini diharap dapat menyuntik minat generasi Z dan Alpha terhadap ilmu taksonomi dan biodiversiti melalui medium digital yang lebih dekat dengan jiwa mereka.
Majlis pelancaran Program Pendigitalan Koleksi dan Pameran Maya Muzium Alam Semula Jadi ini telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPN, YBhg. Dato’ Haslina Abdul Hamid di Galeri 2, Jabatan Muzium Malaysia.