Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Program Bimbingan Penulisan Skrip Drama Pentas yang dikendalikan oleh Fairul Pujangga mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 50 orang peserta daripada pelbagai latar belakang yang berlangsung di Dewan Seminar, DBP Wilayah Timur, semalam.
Fairul Pujangga yang merupakan mantan Jurulatih Seni Teater Gred DG44 di Sekolah Seni Malaysia, Kuala Lumpur dan penulis buku kumpulan skrip drama pentas Angin Dewa Muda (2025), menegaskan bahawa idea yang kecil boleh dikembangkan menjadi sebuah cerita yang utuh untuk dimuatkan dalam skrip teater.
Beliau menekankan bahawa watak dan dialog perlu dibina secara dinamik dan dramatik, di samping plot drama harus dipersembahkan secara semula jadi dengan suntikan unsur tidak dijangka agar lebih menarik.

Fairul Pujangga yang mempunyai pengalaman luas sebagai pelakon dalam produksi besar arahan Dinsman seperti Teater Atas Pokok (2016) dan Muzika Uda dan Dara (2017), turut menjelaskan kepentingan unsur “rasa” dalam penghasilan skrip.
Tegas beliau, setiap skrip yang ditulis akan direalisasikan di pentas melalui lakonan yang menuntut pelbagai emosi dan perasaan daripada para pelakon watak.
Selain itu, beliau menyentuh perbezaan elemen “rasa” tersebut dengan elemen “rasa-rasa” yang sering digunakan oleh para guru yang bertindak sebagai juri dalam pertandingan teater sekolah.
Elemen “rasa-rasa” tidak seharusnya wujud dalam penilaian juri, sebaliknya juri perlu menilai sesebuah persembahan berdasarkan hukum, sebab, akibat, serta logik sesebuah jalan penceritaan.
Sebelum itu, Pengarah DBP Wilayah Timur, Puan Ariza Che Ismail ketika menyampaikan ucapan berharap agar bengkel tersebut dapat terus melahirkan penulis skrip dengan variasi karya yang lebih meluas.
Menurut beliau, hal yang demikian berikutan kesukaran pihak penganjur untuk mendapatkan naskhah skrip drama pentas yang benar-benar berkualiti dalam setiap penganjuran hadiah sastera sebelum ini.