Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSepang – Tourism Malaysia mengumumkan kerjasama strategik dengan Watsons Malaysia bagi menyokong Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) semalam.
Tourism Malaysia dalam kenyataannya berkata, inisiatif ini menyaksikan transformasi cawangan Watsons Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 menjadi “Destinasi Runcit Kesihatan dan Kecantikan” pertama yang menawarkan pengalaman membeli-belah, khusus buat pelawat antarabangsa sebaik-baik tiba di Malaysia.
“Kerjasama ini menandakan suatu pencapaian penting dalam kolaborasi sektor awam dan swasta bagi mempertingkatkan pengalaman para pelawat di Malaysia,” katanya.
Inisiatif tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), YB Tuan Chiew Choon Man bersama-sama Pengarah Urusan Watsons Malaysia merangkap Ketua Operasi (COO) Kesihatan dan Kecantikan Asia, AS Watson Group, Caryn Loh.
YB Tuan Chiew Choon Man berkata, kerjasama strategik ini merupakan contoh terbaik pelibatan sektor swasta dalam usaha mempertingkatkan mutu pengalaman keseluruhan pelawat dengan mengetengahkan produk dan budaya Malaysia kepada dunia.
“Bertemakan ‘Malaysia: Destinasi Lestari dan Kaya Budaya’, kempen ini memberikan penekanan kepada pengalaman pelancongan yang autentik dengan mempamerkan keunikan warisan budaya, kepelbagaian tradisi, serta keindahan alam semula jadi yang kita miliki,” ujarnya.

Sementara itu, Cik Caryn Loh turut menzahirkan penghargaan atas peluang untuk menyumbang kepada agenda pelancongan negara.
“Watsons Malaysia amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada inisiatif bermakna ini dan sebagai peruncit yang dipercayai, kami bangga dapat bekerjasama dengan MOTAC untuk mewujudkan destinasi runcit yang mesra pelancong,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya berharap dapat menampilkan destinasi sehenti bagi produk berkualiti, serta memperkenalkan inovasi jenama tempatan kepada para pelawat global.
Menurut Tourism Malaysia, langkah ini mencerminkan komitmen Watsons Malaysia dalam usaha menyokong agenda kerajaan dengan mengintegrasikan sektor runcit dalam ekosistem pelancongan secara menyeluruh.
Maklumnya, Cawangan Watsons Malaysia di KLIA Terminal 2 akan menawarkan produk terpilih, promosi eksklusif, serta elemen budaya imersif yang menampilkan identiti Malaysia yang berwarna-warni.
Jelasnya, sebagai sebahagian daripada kempen TMM2026, Watsons Malaysia bakal memperkenalkan beberapa langkah strategik seperti keistimewaan membeli-belah eksklusif menerusi inisiatif Watsons One Pass yang membolehkan ahli Watsons Club dari seluruh dunia mengumpul mata ganjaran pada harga ahli tempatan.
“Watsons akan memanfaatkan rangkaian globalnya yang merangkumi lebih 170 juta ahli untuk memperluas jangkauan promosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan,” jelasnya.
Bagi menyemarakkan suasana, cawangan Watsons di KLIA Terminal 2 turut dihiasi dengan dekorasi perayaan dan elemen interaktif yang diinspirasikan daripada warisan kaya Malaysia.
Selain itu, katanya, suatu zon khas disediakan untuk mempamerkan jenama kecantikan dan kesejahteraan tempatan, sekali gus memberikan peluang kepada pelawat antarabangsa untuk menerokai produk yang dihasilkan di Malaysia.
Menerusi kerjasama ini, Tourism Malaysia memperkukuh peranannya sebagai rakan strategik untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang dinamik dan bertaraf dunia.