Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Kebebasan media di Malaysia masih berdepan pelbagai cabaran baharu termasuklah pemilikan organisasi media, tekanan ekonomi, pengaruh algoritma media sosial serta penggunaan undang-undang yang boleh mengekang kebebasan bersuara, menurut panelis dalam forum bersempena dengan Hari Kebebasan Media Sedunia anjuran Malaysian Press Institute (MPI), hari ini.
Forum bertajuk “Kebebasan Media: Siapa Mengawal Naratif?” berlangsung di Pusat Latihan MPI, Cyberjaya itu menampilkan Profesor Sejarah Intelektual dan Sosial serta Pengarah Pusat Kajian Ketamadunan Melayu Islam, ISTAC-IIUM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican; Pensyarah Komunikasi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah, YBhg. Profesor Madya Dr. Lee Kuok Tiung; Pengarah Eksekutif Centre for Independent Journalism (CIJ), YBrs. Puan Wathshlah Naidu; dan Penasihat Editorial Bebas News, Datuk Zaini Hassan.
Forum berkenaan dikendalikan oleh moderator, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, YBrs. Dr. Ainol Amriz Ismail, dan disertai ratusan peserta secara fizikal serta dalam talian terdiri daripada wartawan, pensyarah, pelajar, pegawai kerajaan dan pengamal perhubungan awam.
YBhg. Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad berkata perbahasan tentang kebebasan media perlu dimulakan dengan mentakrif semula maksud media dan profesion kewartawanan.
Menurutnya, media sosial tidak boleh disamakan dengan kewartawanan profesional kerana kewartawanan memerlukan disiplin, latihan, tanggungjawab serta etika yang jelas.
“Kita perlu bezakan antara media sosial dengan kewartawanan. Hari ini sesiapa sahaja boleh menyebarkan maklumat, tetapi tidak semua itu boleh dianggap kewartawanan,” katanya.
Beliau menambah, kewartawanan perlu diangkat sebagai profesion setanding bidang lain seperti undang-undang dan perubatan dengan piawaian profesional yang tersusun.
Sementara itu, YBrs. Puan Wathshlah berkata kebebasan media hari ini bukan sahaja berdepan cabaran kawalan kuasa, malah persoalan kelangsungan ekonomi organisasi media.
Katanya, banyak organisasi media berdepan tekanan untuk bertahan dalam persaingan dengan platform digital dan media sosial yang menguasai perhatian pengguna serta hasil pengiklanan.
“Apabila media terpaksa mengejar keuntungan untuk terus hidup, ada yang mula menapis sendiri kandungan atau memilih tajuk sensasi. Di situlah kebebasan media mula terhakis,” katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan menggubal Akta Kebebasan Maklumat bagi memastikan akses lebih telus terhadap maklumat awam.
YBhg. Datuk Zaini pula berkata kebebasan media tidak pernah bersifat mutlak kerana sering dipengaruhi pemilik organisasi media.
Menurutnya, sejarah media di Malaysia menunjukkan dasar editorial banyak dipengaruhi kepentingan politik atau pemilik syarikat.
“Siapa yang memiliki media akan menentukan naratif, itu realiti yang kita kena akui,” katanya.
Beliau berkata kemerosotan kepercayaan rakyat terhadap media arus perdana berlaku apabila organisasi media dilihat terlalu memihak dan gagal memainkan peranan semak dan imbang.
Dalam pada itu, YBhg. Profesor Madya Dr. Lee Kuok Tiung yang berkongsi buah fikirannya melalui Google Meet berkata landskap media negara berubah sepenuhnya dengan kemunculan media sosial dan saluran alternatif yang semakin popular.
Namun begitu, katanya, apabila masyarakat mahu mengesahkan sesuatu maklumat, mereka masih merujuk kepada media profesional yang mempunyai kredibiliti.
Beliau turut memberi perhatian kepada pengaruh algoritma media sosial yang menentukan kandungan dilihat pengguna, sekali gus mewujudkan “ruang gema” yang mengukuhkan polarisasi masyarakat.
Forum itu turut menyentuh peranan Majlis Media Malaysia yang disifatkan sebagai langkah penting ke arah kawal selia kendiri industri media.
Para panelis berpendapat majlis tersebut perlu benar-benar bebas, telus dan berupaya membentuk kod etika serta mekanisme aduan tanpa campur tangan politik.
Dalam rumusan akhir, semua panelis sepakat bahawa masa depan media Malaysia bergantung kepada integriti wartawan, keupayaan organisasi media menyesuaikan diri dengan teknologi baharu dan kesediaan rakyat meningkatkan literasi media.
Para panelis menegaskan bahawa dalam dunia dipenuhi propaganda, berita palsu dan manipulasi digital, kewartawanan beretika kekal menjadi benteng utama mempertahankan kebenaran.