Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLangkawi – Norfatihah Yusof melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Utama bagi Pertandingan Bakat Muda Sezaman Edisi Ke-29 (BMS29).
Kemenangan tersebut membolehkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM40,000 beserta sijil pengiktirafan berprestij daripada Balai Seni Negara.
Karya beliau, Unharvested Futures: Voices of The Field muncul sebagai naskhah seni paling dominan pada edisi kali ini. Karya tersebut dipamerkan di tengah landskap sawah padi di Pulau Tuba, Langkawi, dan karya tersebut bukan sekadar sebuah instalasi visual, malah berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan naratif ekologi dengan denyut nadi masyarakat setempat.
Panel juri menyifatkan karya ini memiliki kekuatan idea yang luar biasa serta berjaya memberikan impak menyeluruh melalui pendekatan yang akrab dengan persekitaran dan suara komuniti.
Norfatihah yang telah menjalankan sendiri kajian di lokasi menyifatkan kewujudan jurang generasi antara penduduk tua dengan kanak-kanak di Pulau Tuba.

“Sebelum ini, penanaman padi di Pulau Tuba boleh dikatakan menjadi budaya. Keunikan penanaman padi di Pulau Tuba bergantung pada air hujan menyebabkan mereka boleh menanam hanya setahun sekali. Hari ini, saya nampak ada jurang generasi dan kepupusan pengetahuan tentang penanaman padi (di Pulau Tuba),” terang Norfatihah.
BMS29 kali ini meneruskan momentum tema “Lokasi Spesifik” (Site-Specific), di mana seniman yang bertanding perlu membangunkan karya yang berakar daripada sejarah, budaya, dan ekologi tapak pilihan di sekitar Langkawi.
Pendekatan ini menyaksikan ruang awam seperti Pasar Awam Kuah, jeti, bendang, hingga ke bangunan terbiar berubah menjadi galeri terbuka yang inklusif.
Sebanyak 21 penyertaan akhir telah disaring, dengan 16 karya berjaya dizahirkan di lokasi sebenar.
Bagi kategori Anugerah Juri, empat seniman telah dipilih atas keberanian mereka meneroka artistik baharu menerusi medium yang pelbagai, iaitu Aiman Yusri Mohamad Yusoff, Khairul Ehsani Sapari, Muhammad Ismail Rahim, serta kolaborasi Lim Xiao Mun dan Helmi Azam Tajul Urus. Setiap pemenang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM15,000.

Penilaian edisi ke-29 ini memperlihatkan standard antarabangsa yang tinggi dengan kehadiran panel juri pakar dari dalam dan luar negara, termasuklah Fram Kitagawa (Jepun), Dr. Agung Hujatnikajennong (Indonesia), dan Dr. Mohamad Faizuan bin Mat (UNIMAS).
Selain itu, sembilan Anugerah Harapan turut disampaikan kepada peserta yang menunjukkan potensi besar dalam kualiti pengkaryaan mereka, dengan masing-masing menerima RM1000.
Bakat Muda Sezaman yang diperkenalkan sejak tahun 1974 kini merupakan edisi ke-29, terus kekal sebagai pentas paling dinanti-nantikan oleh seniman muda kontemporari Malaysia.
Bagi orang awam yang ingin merasai sendiri pengalaman estetika di tapak lokasi, pameran karya BMS29 di sekitar Langkawi ini akan terus dibuka sehingga 26 Julai 2026. Maklumat lanjut mengenai lokasi karya dan latar belakang seniman boleh didapati melalui laman web rasmi Balai Seni Negara.