Diterbitkan pada 26 Mei 2026, 10:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh – Program Arca Pualam anjuran Balai Seni Negara Cawangan Ipoh telah berlangsung dengan jayanya selama enam hari bermula 18 Mei hingga 23 Mei 2026 di Ipoh, sebagai inisiatif untuk mengangkat keunikan material geologi tempatan melalui pendekatan seni sezaman.

Menurut Balai Seni Negara, program ini memberikan fokus terhadap penghasilan karya arca berasaskan batu kapur, iaitu khazanah alam yang sinonim dengan negeri Perak.

“Program ini menghimpunkan tujuh orang seniman tempatan yang merupakan anak watan negeri Perak daripada pendekatan seni yang berbeza, iaitu Dr. Ramlan Abdullah (Taiping), Dr. Choong Kam Kow dan Tan Vooi Yam (Bercham), Daud Abdul Rahim (Lenggong), serta Raja Shahriman Raja Aziddin, Ibrahim Mohd Don dan Hilal Mazlan dari Kuala Kangsar,” katanya dalam satu kenyataan.

Tujuh arca yang berjaya dihasilkan memperlihatkan kepelbagaian idea, pendekatan artistik serta interpretasi kreatif para seniman terhadap material semula jadi yang menjadi identiti negeri Perak.

Tambahnya, setiap karya yang dihasilkan bukan sahaja menampilkan nilai estetika yang tinggi, malah turut mengangkat naratif berkaitan dengan alam, budaya, sejarah serta hubungan manusia dengan persekitaran.

“Selain membuka dimensi baharu dalam interaksi estetik terhadap sumber alam semula jadi, program ini turut berpotensi memperkukuh sektor pelancongan seni dan budaya serta memperkenalkan identiti seni tempatan yang unik kepada masyarakat dan pelancong, khususnya di negeri Perak,” ujarnya.

Balai Seni Negara merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen untuk menjayakan program ini, termasuklah para seniman yang berjaya menampilkan karya berkualiti dan penuh nilai kreativiti untuk memperkasakan medium arca pualam sebagai manifestasi seni visual kontemporari negara.

Karya yang dihasilkan menerusi program ini dijangka menjadi antara tarikan apabila Balai Seni Negara Cawangan Ipoh dibuka kepada orang ramai tidak lama lagi, sekali gus memberikan peluang kepada masyarakat dan pencinta seni untuk mendekati keunikan seni arca tempatan dengan lebih dekat.

Katanya, inisiatif seperti ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada perkembangan seni arca tempatan di samping memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab seni visual yang progresif dan berdaya saing di peringkat nasional serta antarabangsa.

Kredit Foto: Balai Seni Negara
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi