Diterbitkan pada 24 Jun 2026, 16:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam –Filem Macai arahan Sun-J Perumal dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur (AMPFKL) ke-11 yang berlangsung di Kafe Tiga Belas, Shah Alam.

Karya tersebut berjaya mengatasi empat calon lain dalam kategori sama, iaitu Ninavau, Mencari Ramlee, Badak dan Malam Terlarang.

Ketika menerima anugerah berkenaan, Sun-J menyatakan penghargaan kepada isterinya, pihak penerbit, ahli keluarga serta seluruh tenaga produksi yang terlibat dalam menjayakan filem tersebut.

“Terima kasih pihak penganjur, saya cukup gembira berada di sini kerana kritik yang baik akan melahirkan pengarah yang baik.

“Saya ingin berterima kasih kepada isteri yang menjaga rumahtabgga sewaktu saya mengejar impian saya serta penerbit dan keluarga.

Macai merupakan filem dengan bajet sederhana tapi kami mempunyai impian yang besar.

“Semua ini tidak akan terhasil tanpa barisan kru dan pelakon yang turut sama membawa misi saya dalam bentuk visual,” katanya ketika majlis berkenaan.

Dalam pada itu, wakil Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur, Fadli Al-Akiti, menyifatkan lebih 70 filem yang ditayangkan tahun lalu menunjukkan penambahbaikan pelbagai sudut termasuklah dari aspek teknikal dan tenaga kerja di belakang tabir.

Malah kebangkitan sinema Borneo serta keberanian pengarah tempatan mengangkat pelbagai isu yang lebih mencabar turut memberikan warna baharu kepada landskap perfileman negara.

“Walaupun terdapat pengulangan premis dan tema seperti tahun-tahun sebelumnya, namun harus diakui terdapat kemajuan dari segi kepakaran di belakang tabir.

“Sebuah filem tidak terhasil menerusi penentuan seorang individu sahaja, sebaliknya adalah hasil kerja berpasukan yang membolehkan layar ‘berbicara’ kepada penonton,” jelasnya.

Bagaimanapun, Fadli tidak menafikan masih terdapat ruang penambahbaikan terutamanya dalam aspek penceritaan dan penyusunan plot secara visual.

“Masih ada masalah dalam cara penceritaan di skrin. Malah, ada gaya penceritaan yang tidak menggugah, adakalanya melilau mencari arah atau kelihatan longgar daripada aspek sebab dan akibat.

“Hal ini penting kerana sesebuah filem sepatutnya membangkitkan persoalan, renungan dan menemukan penonton dengan inti pati kemanusiaan,” katanya

Selain penyampaian anugerah, AMPFKL ke-11 turut menampilkan program “Pasca Wayang: Rayakan Sinema, Raikan Wacana” yang menghimpunkan beberapa sesi forum berkaitan kritikan filem, ulasan di media sosial dan masa depan budaya tontonan di Malaysia.

Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur merupakan sebuah kumpulan yang menghimpunkan editor, penulis, blogger dan pencipta kandungan yang aktif mengulas karya filem tempatan serta antarabangsa.

Senarai Pemenang AMPFKL Ke-11

Filem Terbaik
Macai – Sun-J Perumal & Sivanantham Perianan

Pengarah Terbaik
Bebbra Mailin (Ninavau)

Pelakon Lelaki Terbaik
Hindra Bose (Simple Manusan)

Pelakon Wanita Terbaik
Sofia Jane (Mencari Ramlee)

Lakon Layar Terbaik
Muzzamer Rahman dan Bebbra Mailin (Ninavau)

Sinematografi Terbaik
Gwai Lou (Macai)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
Sabri Yunus (Malam Terlarang)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
Sofia Jane (Malam Terlarang)

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi