Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Arkib Negara Malaysia telah menganjurkan Program Minggu Kenangan P. Ramlee 2026 bertemakan “Sepanjang Riwayatku” serta Sambutan 100 Tahun Rumah Kelahiran P. Ramlee.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KPN, majlis ini diadakan sebagai pengiktirafan dan penghormatan negara terhadap sumbangan besar Seniman Agung yang telah banyak berjasa untuk membentuk identiti filem dan muzik tanah air.
“Sepanjang hayatnya, Tan Sri P. Ramlee telah menghasilkan karya segar yang bukan sahaja mencorakkan landskap seni tanah air, malah mengangkat nilai kemanusiaan dan perpaduan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang dalam ucapan alu-aluannya berkata, penganjuran program ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan untuk memelihara warisan seni negara.
Tambah beliau, pengisian program ini turut mendidik generasi muda agar terus menghargai sejarah, memperkukuh jati diri nasional, serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam membina negara bangsa.
Sebagai rekod, kerajaan melalui Arkib Negara Malaysia telah menubuhkan dua institusi khas bagi memelihara dan mengabadikan legasi Tan Sri P. Ramlee, iaitu Rumah Kelahiran P. Ramlee dan Pustaka Peringatan P. Ramlee.
Selain itu, katanya, pelbagai program sisipan turut diadakan sepanjang tiga hari program ini berlangsung seperti Bicara Sejarah dan Kenangan Rumah Kelahiran P. Ramlee, Bacaan Yasin dan Tahlil Arwah Tan Sri P. Ramlee, Ceramah ‘Seni Dakwah Seniman” dan Pameran 100 Lampu.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli Ngah Talib.