Diterbitkan pada 14 Oktober 2024, 12:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Daerah Hulu Terengganu, khususnya bandar Kuala Berang merupakan sebuah bandar yang cukup unik dan kaya dengan nilai budaya serta sejarah. Dengan pesona nama yang cukup unik, apakah sebenarnya nilai sejarah yang tersimpan di daerah ini?

Pada abad ke-12, berdasarkan buku sejarah Cina bertajuk Ling Wai-Tai Ta, ahli sejarah berpendapat Foloan yang disebut dalam buku ini ialah Kuala Berang. Pada abad itu, daerah Hulu Terengganu merupakan bandar pelabuhan yang menjadi tumpuan pedagang dari alam Melayu, Timur Tengah dan China.

Tidak hairanlah sekiranya pada abad itu Kuala Berang menjadi satu daripada pusat perniagaan yang utama di Asia Tenggara. Bukan itu sahaja, Kuala Berang juga terkenal dengan Empangan Tasik Kenyir, tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara. Tujuan utama tasik ini dibina bagi menjanakan kuasa elektrik dan membekalkan tenaga elektrik bagi penduduk di daerah ini. Apa yang menarik, selain menjanakan tenaga elektrik,  Tasik Kenyir ini juga kaya dengan khazanah alam flora dan fauna.

Sekiranya berkunjung ke Tasik Kenyir, jangan lepaskan peluang untuk singgah di Taman Herba Tasik Kenyir. Lebih menarik, taman herba ini menawarkan 200 jenis pokok herba tradisional seperti Tongkat Ali, Kacip Fatimah dan Misai Kucing.

Pengunjung menikmati pengalaman bermain dengan ikan kelah di Santuari Kelah, Tasik Kenyir.

Bagi mereka yang gemarkan aktiviti memancing, anda juga boleh berkunjung ke Tasik Kenyir dengan mendapatkan pakej rumah bot. Bukan sahaja dapat merasai pengalaman memancing, suasana alam semula jadi yang sangat indah dan luas terbentang juga pasti akan memukau sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini.

Selain itu, Kuala Berang juga mempunyai sejarah kepahlawanan yang tersendiri pada abad ke-19. Menurut laman web rasmi Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu, Kuala Berang telah dijadikan kubu dan tempat persembunyian bagi pahlawan-pahlawan Melayu seperti Tok Gajah, Dato’ Bahaman, Tok Janggut, dan Mat Kilau.

Para pahlawan Melayu ini telah merancang dan mengatur strategi bagi menentang penjajahan Inggeris pada ketika itu. Malah, satu daripada peristiwa bersejarah yang telah berlaku pada ketika itu ialah peristiwa Padang Kacong di Kuala Telemong.

Sewaktu peristiwa ini berlaku pada tahun 1928, pertempuran antara pasukan penentang pentadbiran British di Terengganu dengan pasukan kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Lela Diraja, Abdul Rahman Ishak. Pasukan ini terdiri daripada Haji Abdul Rahman Limbong, Lebai Deraman, Mat Zin Mat Min dan Haji Kia dari Telemong.

Peristiwa ini berlaku di Padang Kachong sebagai tanda  penentangan penduduk tempatan terhadap campur tangan British dalam pentadbiran negeri Terengganu. Pada ketika itu, British telah mewajibkan rakyat mempunyai surat izin untuk membuat huma, membuka tanah malah mengambil daun untuk membuat atap dan menebang kayu.

Lebih teruk lagi, penduduk setempat juga dikenakan cukai hasil tanah serta disekat daripada memburu binatang liar. Pertempuran ini berakhir dengan kekalahan yang menyaksikan 11 orang penentang telah terkorban.

Tidak cukup dengan sejarah kepahlawanan Melayu, Kuala Berang juga mempunyai sejarah penemuan Batu bersurat yang telah mendapat pengiktirafan UNESCO di bawah kategori Memory of the World International Register pada 31 Julai 2009.

Batu Bersurat yang bertarikh 4 Rejab 702 Hijrah atau 22 Februari 1303 Masihi ini pada asalnya dijumpai selepas banjir surut di tebing Sungai Tara, Kuala Berang.

Kemudian, penemuan Batu Bersurat ini disedari oleh seorang ahli perniagaan, Saiyed Husin bin Ghulam Al Bukhari, pada tahun 1902. Sewaktu sedang mengambil wuduk untuk bersolat zuhur di sebuah surau Kampung Buluh, beliau menyedari tulisan pada batu tersebut yang telah dijadikan alas kaki.

Dengan bantuan penduduk setempat, batu bersurat ini dipersembahkan kepada Sultan Zainal Abidin III.  Walau bagaimanapun, Batu Bersurat telah patah di bahagian atasnya dan masih belum dijumpai hingga kini.

Bukan legenda atau cerita dongeng, Batu Bersurat ini merupakan bukti terawal kewujudan tulisan Jawi dalam dunia Melayu Muslim di Asia Tenggara. Malah, kandungan batu bersurat juga mengandungi bukti tentang kedatangan ilmu falak. Selain itu, Batu Bersurat tersebut menjadi bukti kedatangan agama Islam di Asia Tenggara sejak abad ke-13 lagi.

Seterusnya, Kuala Por yang terletak di daerah ini juga mempunyai sejarah penemuan banyak serpihan pinggan mangkuk buatan Cina, Zaman Dinasti Ming. Tidak hairanlah sekiranya kampung ini juga dikatakan jadi menjadi tempat persinggahan atau pelabuhan pedagang Islam dari Arab, Parsi dan China.

Di Kuala Por ini juga,  penemuan makam Tok Raja Ri yang dikatakan berkemungkinan orang yang mengisytiharkan perundangan di Batu Bersurat. Pada batu nisan ini terdapat tulisan Arab Parsi yang dikaitkan dengan sejarah kedatangan Islam ke Terengganu.

Akhir sekali, dialek bahasa Hulu Terengganu juga merupakan satu daripada keunikan warisan yang sangat menarik di Kuala Berang. Dialek Hulu Terengganu ini dikatakan hampir kepada sebutan bahasa Melayu Induk dan bahasa Austronesian Kuno.

Malah, pada tahun 1935, C.C.Brown telah menerbitkan tulisannya, Terengganu Malay. Beliau berpendapat bahawa daripada segi pembunyian dan tata ujaran,unsur kosa kata Hulu Terengganu sebagai unsur yang tua.  Oleh itu , ada teori yang mengatakan bahawa dialek ini merupakan dialek yang paling asli dan paling tua di Semenanjung Tanah Melayu.

Dengan semua catatan sejarah yang terjadi di daerah ini, Daerah Hulu Terengganu merupakan sebuah daerah yang perlu dikekalkan warisannya agar tidak hilang dalam arus kemodenan pada masa akan datang. Sejarah dan warisan ini perlu dikekalkan bukan sahaja pada masa kini, malah diwariskan kepada generasi muda sebagai permata sejarah yang tidak luput ditelan zaman.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi