Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – KRU kembali bergabung pada tahun 2024 selepas bubar enam tahun sebelumnya, bakal mencatat bukan hanya rekod peribadi, tetapi sejarah baharu industri hiburan tanah air tahun 2025 apabila persembahannya menerusi Konsert GenKru tidak hanya ditampilkan sehari atau dua hari sahaja, tetapi tiga hari!
Ternyata masih begitu besar empayar dan pengaruh yang pernah dimiliki KRU atau Kumpulan Rap Unggul ini, melangkaui generasi dan peminat muzik sejak penubuhannya pada tahun 1992.
Kali terakhir KRU tampil di pentas adalah pada tahun 2028 di Panggung Sari, Istana Budaya.
Hal tersebut turut menguatkan hakikat bahawa kehebatan KRU sebagai kumpulan trio legenda tanah air tidak dapat disangkal lagi apabila agenda Konsert GenKru yang dijadualkan pada 3 Mei 2025, ditambah dua hari kerana sambutan hangat para peminat.
Memang menakjubkan kerana penjualan tiket untuk konsert hari pertama laku habis dalam masa sejam, sementara penjualan hari kedua selesai dalam masa 45 minit sahaja.
Kesemuanya mahu menikmati lagu-lagu popular KRU seperti AWAS, Mengerti, Apa Saja, dan Terhangat di Pasaran secara langsung.
Perkara tersebut diumumkan semasa Majlis Apresiasi Media dan Pengumuman Istimewa GenKru di sebuah hotel terkemuka dekat sini pada 3 Januari lalu, yang dihadiri Dato’ Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim, iaitu ahli KRU serta Iman Tang, pengasas ICON Entertainment (ICON) selaku penganjur konsert berkenaan.
Demi menunaikan impian peminat yang gagal mendapatkan tiket untuk malam pertama kemudian malam kedua, iaitu 4 Mei 2025, tetapi masih belum berhenti memburu peluang menjadi salah seorang “saksi hidup” Konsert GenKru di Axiata Arena nanti.
Justeru, KRU dan ICON sebulat suara bersetuju menambah sehari lagi penganjuran Konsert GenKru, iaitu pada 10 Mei 2025. Keputusan menjadikan konsert berkenaan tiga hari juga adalah sejarah baharu yang wajar dibanggakan oleh bintang tempatan, apabila kebanyakannya hanya mengadakan konsert selama dua hari sahaja.
Dengan pertimbangan yang cukup berhati-hati, dan persetujuan yang diperoleh daripada KRU, ujar Iman, maka 10 Mei 2025 dipilih sebagai tarikh yang sesuai untuk hari ketiga Konsert GenKru, selepas 3 dan 4 Mei 2025.
“Keputusan menambah pementasan konsert menjadi tiga hari dibuat kerana melihat kegilaan dan permintaan yang cukup tinggi dalam kalangan peminat, selepas ada yang gagal mendapatkan tiket untuk hari pertama dan hari kedua,” jelasnya sambil menambah itu bukan mengambil kesempatan, tetapi KRU tidak mahu menghampakan harapan peminat, dan ingin membuktikan bahawa pemuzik tempatan turut berpengaruh, dan ada kuasa besar terhadap pasaran sendiri.
“Berjaya melakukan konsert berskala besar selama tiga malam merupakan satu penghormatan untuk artis tempatan kita,” ujar Iman lagi.

Beliau turut memaklumkan pemilihan hari ketiga konsert yang tidak dilaksanakan berturut-turut, iaitu 5 Mei 2025 adalah berkaitan dengan perkara teknikal, selain memberi peluang kepada penganjur dan KRU sendiri menyusun semula jadual yang sebelum ini telah diisi dengan agenda lain, dan KRU juga telah bersetuju.
Sementara itu, Edry, 48 tahun, menyatakan persembahan pada 10 Mei 2025 nanti merupakan tanggungjawab KRU kepada para peminat, yakni bukan lagi sekadar menyanyi dan bergembira, tetapi lebih daripada itu.
Dengan ini bererti, Konsert GENKRU di Axiata Arena, Bukit Jalil bermula pukul 8.30 malam nanti menyaksikan penampilan sulung KRU selepas enam tahun. Selepas mencapai kejayaan besar menerusi konsert Dato’ M. N45ir: Cipta pada 10 Ogos dan 12 Oktober 2024 di tempat yang sama, ICON kini beralih pula kepada satu lagi ikon muzik tanah air, iaitu KRU!
Tiket untuk Konsert GenKru yang juga diadakan bersempena dengan penerbitan album terbaharu mereka, Kaset, boleh didapati melalui laman www.ticket2u.com.my/kru3 dengan kategori dan harga: reKRUed – RM258, Canggih – RM358, Relax – RM478, Kaset – RM508, KRUjaan – RM548, dan KRUnisme – RM588.
Untuk pemegang kad Maybank (MAYBANK CARDMEMBERS), prajualan tiket dibuka
pada 7 Januari 2025 sahaja, dari pukul 11 pagi. Tiket untuk umum pula akan mula dijual pada 8 Januari 2025, pukul 3 petang.