Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangWeng Poh Leng meneliti koleksi setem yang setua negara yang melahirkannya.
Sekali lagi, kembara membawa saya ke Kota Singa dan menyelam kembali ke dalam penemuan baharu terhadap hobi yang terpendam sejak di bangku sekolah. Waktu itu, saya menunggu kawan saya di bangunan Funan Digital Mall yang bercirikan futurisme moden, berdasarkan konsep Tree of Life oleh arkiteknya Stephen Jones. Bangunan Funan menjadi perbandingan yang sangat ketara dengan bangunan sebelahnya yang lebih uzur bernama Peninsula Plaza. Peninsula Plaza bercirikan seni bina Goth moden yang siap dibina sekitar tahun 1970-an.
Hal yang menarik di dalam Peninsula Plaza ialah koleksi peralatan sukan, fotografi, terutamanya kamera SLR atau single-lens reflex, buah tangan, serta koleksi setem vintaj. Boleh dikatakan, kedai-kedai di dalam bangunan tersebut merupakan syurga kepada penggemar hobi dalam peralatan, peranti dan koleksi unik ini. Tambahan pula, bangunan tersebut juga diberikan nama Little Burma: menjual barangan dari Myanmar, makanan, perpustakaan, dan restoran bercita rasa Myanmar juga.
Sambil berjalan dan melihat barangan melalui kaca kedai window shopping, saya terjumpa koleksi setem istimewa dari Malaysia, negaraku. Ada koleksi sampul surat pertama yang dipamerkan, juga dari pelosok negara yang lain. Saya pun lekas-lekas berkongsi gambar yang diambil oleh telefon pintar dan share kepada rakan saya Raja Shaharil Nasir, yang juga meminati bidang filateli. Begitu hangat kami membincangkan koleksi setem dan reka bentuknya dalam set.
Hal ini membawa kepada sesi mengopi dan teh di sebuah pasar raya di Shah Alam. Kami berjanji membawa koleksi setem dan memorabilia berkenaan dengan filateli. Kebanyakan koleksi tersebut dikumpulkan dan diberikan oleh saudara kami seperti harta pusaka yang perlu dilindungi. Perutusan persuratan menjadi tunggak penulisan sejak manusia mula menggunakan merpati untuk membawa maklumat kepada bangsawan. Apatah lagi dengan teknologi pesanan ringkas dan aplikasi sosial media terkini yang boleh menghantar “surat” e-mel dengan mudah dan pantas, menggunakan jari.
Mungkin suatu hari nanti, kita tidak lagi menggunakan kertas dan dakwat menulis surat rindu kepada tersayang dan mengeposkannya dengan setem ataupun menggunakan aerogram.
Menariknya dalam perbincangan kami, setem sebelum Malaysia merdeka dicetak dengan nama Singapore Malaya, yang bertarikh pada cop tahun 1957. Detik masa seolah-olah dibekukan apabila kami berdua melihat setem tersebut yang masih melekat di atas sampulnya.

Apakah isi kandungan surat tersebut? Hanyalah si penerima sahaja yang tahu. Kami selak lagi setem yang lain dan terjumpa setem Persekutuan Tanah Melayu keluaran tahun 1960-an yang tertera dengan ayat “Bahasa Jiwa Bangsa” dan kepentingan daun lontar sebagai lambang penulisan dan sumber bahan zaman dahulu kala. Uniknya, setem ini bentuknya segi tiga dan bukannya segi empat tepat seperti reka bentuk setem yang selalu kita lihat.

Dalam perbincangan kopi-teh itu juga timbul persoalan, setem bagaikan duta negara. Mencerminkan pencapaian, lambang progresif dan kebanggaan sesebuah negara. Semua terkandung dalam suatu helaian kertas (4.3 cm x 3.5 cm) yang cukup kecil dan dilihat oleh semua. Sama seperti bahasa, bahasa juga menjadi duta negara yang membawa pelbagai aspek komunikasi, sejarah, kesusasteraan, budaya (dan banyak lagi) akan sesebuah negara berdaulat.

Setem duta kecil negara,
Sama seperti Bahasa Jiwa Bangsa,
Perkara harian nampak biasa,
Jangan alpa seperti kera mendapat bunga.
_________________________
Weng Poh Leng atau PL Weng berasal dari Kuala Lumpur dan gemar menghasilkan karya seni kreatif, mengembara bersama buku, menganalisis filateli dan penulisan bertemakan dualisme serta gelotologi. Karyanya pernah tersiar dalam Eksentrika, Burning House Press, dan Majalah Samudera.