Diterbitkan pada 27 Mac 2025, 09:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pembudayaan makanan tradisional bukan sahaja berkait dengan rasa dan cara pemakanan, tetapi juga memainkan peranan yang signifikan dalam melestarikan warisan budaya, memupuk hubungan sosial dan menghargai alam sekitar. Makanan tradisional merupakan satu daripada elemen yang dapat memastikan identiti budaya tetap terpelihara. Oleh itu, penting bagi kita untuk terus menghayati dan memelihara budaya makanan tradisional sebagai sebahagian daripada jati diri dan warisan masyarakat kita.

Tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas, bubur lambuk masih teguh berdiri di hati kita walaupun dihimpit dengan kepelbagaian makanan yang tular dalam kalangan orang muda bak cendawan tumbuh selepas hujan sejak akhir-akhir ini memenuhi ruang perniagaan. Tak kenal maka tak cinta, bubur lambuk merupakan satu daripada hidangan tradisional yang sangat terkenal di Malaysia dan sebilangan negara Asia Tenggara, khususnya ketika bulan Ramadan menjelma.

Makanan tradisi ini bukan sahaja memiliki nilai rasa yang kaya, tetapi juga sarat dengan nilai budaya dan sosial yang mendalam. Bubur lambuk biasanya disediakan dengan bahan-bahan seperti beras, santan, daging, rempah ratus dan pelbagai sayur, menghasilkan satu hidangan yang sangat berkhasiat. Di samping itu, bubur lambuk turut membawa simbolik yang mendalam dalam kehidupan masyarakat Malaysia, terutama dalam aspek kemasyarakatan dan kebudayaan.

  1. Nilai Kemasyarakatan

Nilai yang paling ketara dalam bubur lambuk ialah aspek sosialnya. Pada bulan Ramadan, banyak masjid di seluruh negara mengadakan aktiviti memasak dan mengagihkan bubur lambuk kepada umat Islam yang berpuasa. Malahan, penyediaan bubur lambuk ini sering menjadi satu program amal badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan untuk bersedekah. Ini bukan sahaja menjadikan bubur lambuk sebagai hidangan istimewa, tetapi juga sebagai satu cara untuk mengeratkan hubungan dan ukhuwah dalam kalangan masyarakat.

Ibarat peribahasa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, proses memasak bubur lambuk ini melibatkan aktiviti gotong-royong, di mana orang ramai, tanpa mengira latar belakang, bersama-sama untuk menyediakan hidangan ini. Perkara ini merupakan satu daripada simbol kepada semangat kebersamaan, toleransi dan saling membantu yang menjadi tunjang kepada budaya masyarakat Malaysia.

  1. Nilai Kebudayaan

Bubur lambuk bukan hanya sekadar makanan, tetapi juga melambangkan identiti dan warisan masakan tradisional Melayu. Setiap keluarga atau masjid mungkin mempunyai resipi khas mereka tersendiri, yang diwarisi turun-temurun. Sebilangan daripada kita mungkin bernasib baik mendapat resipi rahsia yang dikongsi semasa aktiviti merewang.

Hidangan ini menjadi satu tradisi yang ditunggu-tunggu setiap tahun pada bulan Ramadan. Bagi sesetengah komuniti, membekalkan bubur lambuk kepada jiran-jiran atau mereka yang kurang mampu menjadi satu amalan yang menggalakkan rasa perpaduan, kasih sayang dan keprihatinan terhadap sesama manusia ibarat pepatah serumpun bak serai, sesusun bak sirih.

  1. Nilai Kesihatan

Bubur lambuk juga mempunyai nutrisi yang tinggi dan kaya dengan pelbagai bahan yang bermanfaat untuk kesihatan. Penggunaan rempah ratus seperti halia, kunyit dan lada hitam bukan sahaja memberi rasa yang enak, tetapi juga memiliki khasiat kesihatan yang tersendiri. Sebagai contoh, kunyit dipercayai dapat meningkatkan sistem imunisasi dan mempunyai sifat antioksidan dan anti keradangan. Halia pula berfungsi untuk melancarkan proses pencernaan dan merawat penyakit osteoartritis.

Santan yang digunakan pula memberikan sumber tenaga dan mencegah jangkitan virus dan bakteria, sementara daging dan sayuran pula menambah sumber protein dan vitamin yang diperlukan oleh badan. Ibarat serampang dua mata, bubur lambuk bukan sahaja sedap dimakan, tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan fizikal, terutamanya ketika umat Islam sedang berpuasa.

  1. Nilai Keagamaan

Bubur lambuk juga mempunyai nilai keagamaan yang penting, terutama dalam bulan Ramadan. Selain daripada menjadi hidangan berbuka puasa, bubur lambuk melambangkan elemen pengorbanan dan kesyukuran. Satu daripada cara seseorang Muslim memperingati bulan yang penuh berkat ini, dengan berkongsi rezeki kepada mereka yang memerlukan.

Pengagihan bubur lambuk secara percuma di masjid-masjid dan pusat-pusat komuniti juga mencerminkan nilai-nilai kemuliaan dan kebaikan yang dianjurkan dalam ajaran Islam. Bubur lambuk juga diberikan kepada orang bukan Islam terutamanya yang tidak bernasib baik, menunjukkan sisi Islam yang adil lagi saksama. Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua, bubur lambuk merupakan simbol perpaduan yang mungkin terlepas pandang oleh masyarakat hari ini.

Kesimpulannya, bubur lambuk bukan hanya sekadar hidangan, tetapi juga satu simbol nilai-nilai murni yang menggabungkan aspek kemasyarakatan, kebudayaan, kesihatan, dan keagamaan. Bubur lambuk adalah makanan yang membawa masyarakat bersama-sama, mempereratkan ikatan sosial, dan mengingatkan kita tentang pentingnya berkongsi rezeki serta menjaga nilai-nilai tradisi yang telah lama terpelihara.

Kredit Foto: Mohd Syamaizar Mustafa
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi