Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKemaman – Projek Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah Kemaman, Terengganu, liaitu okasi kelip-kelip terunggul di Malaysia menjadi tarikan peminat alam semula jadi dan pelancong eko.
Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), santuari ini diiktiraf sebagai satu daripada lokasi kelip-kelip terunggul di Malaysia, khususnya sebagai habitat semula jadi spesies Pteroptyx tener, iaitu sejenis kelip-kelip unik yang berkeupayaan berkelip secara serentak seterusnya menjadikan fenomena ini amat jarang ditemui.
“Projek ini dilaksanakan oleh KPKT melalui Program Pemuliharaan Landskap, Jabatan Landskap Negara (JLN) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kemaman (MPK),” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, projek ini dibangunkan berdasarkan dapatan kajian menyeluruh oleh kumpulan pakar merangkumi arkitek landskap, pakar entomologi (kelip-kelip), jurutera serta ahli profesional yang berkaitan demi menjamin keseimbangan antara keperluan ekologi dengan teknikal dan aspek pelancongan lestari.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Datuk Hajah Aiman Athirah dalam kenyataan sama berkata, Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah bukan sahaja simbol pemeliharaan alam sekitar, tetapi juga peluang untuk menjana ekonomi komuniti setempat melalui pelancongan lestari.
Katanya, usaha ini seharusnya dijadikan contoh bahawa keindahan landskap semula jadi boleh dimanfaatkan secara bertanggungjawab oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
KPKT berkata, bagi menyokong usaha pemuliharaan habitat kelip-kelip ini, sebanyak 200 pokok bakau, 2000 pokok berembang dan 500 pokok nipah telah ditanam di sepanjang Sungai Chukai.
“Projek ini turut menyediakan pelbagai kemudahan kepada pengunjung seperti jeti pelawat, pusat informasi dan perkhidmatan bot menyusuri sungai bagi menyaksikan keindahan kelip-kelip pada waktu malam,” tambahnya.
Katanya, selain menjadi destinasi pelancongan, santuari ini juga berfungsi sebagai platform untuk penyelidikan, pendidikan alam sekitar dan aktiviti sukarelawan pemuliharaan.

Menurut KPKT, pelancaran projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatifnya melalui JLN untuk memelihara kawasan ekosistem penting dan memperkenalkan Terengganu sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam sekitar bertaraf antarabangsa.
Perasmian Projek Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah telah disempurnakan oleh YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, di sini, semalam.
Dalam majlis yang sama, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM4 juta kepada tujuh PBT Negeri Terengganu bagi pelaksanaan projek Taman Rekreasi MADANI 2025.
Katanya, peruntukan ini dijangka akan memberikan impak positif terhadap pemerkasaan ruang hijau dan penambahbaikan kawasan rekreasi di seluruh negeri Terengganu.