Diterbitkan pada 26 April 2025, 14:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

 

Poster Teater Pelanduk Terakhir.

Kuala Lumpur – Pementasan Teater Pelanduk Terakhir yang mengangkat kearifan tempatan masyarakat negeri Pahang hasil arahan dan penulisan skrip oleh Suezanna MS telah berlangsung selama dua jam di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, semalam.

Pementasan ini dianjurkan oleh Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP), Majlis Kebudayaan Negeri Pahang dan Tourism Malaysia Pahang dengan kerjasama DBP Wilayah Tengah. Para penonton dikejutkan dengan persembahan pembukaan oleh penyanyi lagu rakyat terkenal, Roslan Madun yang mendendangkan lagu popularnya, iaitu Lemak Manis.

Seterusnya, para penonton berpeluang menyaksikan pementasan ini yang mengisahkan perjuangan Mahdi, seorang penari tarian pelanduk yang bertekad untuk mempertahankan minat dan warisan tarian tersebut daripada dilupakan.

Perhatian para penonton semakin tertambat apabila Mahdi mendapat tentangan daripada beberapa penduduk kampung, terutamanya Sabariah yang tidak mengizinkan anaknya sendiri, iaitu Fateh untuk menuntut ilmu tarian pelanduk daripada Mahdi.

Gabungan lakonan orang lama seperti Liza Abdullah (watak Ana), Roslan Madun (watak Zaman) dan anak-anak muda dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Sekolah Kebangsaan Tunku Azizah (STAZ) yang menggunakan dialek negeri Pahang dipersembahkan dengan penuh penghayatan dan tidak membosankan kerana diselang-selikan dengan penyampaian sejarah tentang tarian pelanduk yang berasal dari Bukit Betong, Kuala Lipis, Pahang dan lawak jenaka.

 

Tarian pelanduk yang dipersembahkan oleh para pelajar Sekolah Kebangsaan Tunku Azizah (STAZ).

Turut hadir menonton pementasan teater ini ialah YBrs. Tuan Syed Anas Dato’ Syed Ali, Sekretariat Perantau Anak Pahang; YBrs. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Haji Mansor Abdullah, Presiden Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP); YBrs. Encik Kamaruddin Ibrahim, Pengurus Besar Tourism Pahang; YBhg. Mejar Bersekutu (PA) Esma Dainal Md Esa, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal, Kebajikan dan Data Industri FINAS; YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP dan YBrs. Puan Nurul Julia Alany Henry, Pengarah DBP Wilayah Tengah.

Berbaki dua hari lagi, iaitu pada 26 April 2025 dan 27 April 2025, orang ramai yang berminat untuk menyaksikan teater ini boleh membuat tempahan tiket berharga RM50, RM30 atau RM20 di sini.

 

Kredit Foto: Khairul Azhar Baharuddin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi