Diterbitkan pada 29 Oktober 2025, 16:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur —  Buku Jalanan Chow Kit (BJCK) bakal meraikan ulang tahun ke-10 penubuhannya dengan penganjuran program “Sedekad BJCK: Bukan Hanya Tentang Kami, Tapi Tentang Kita” pada 31 Oktober hingga 2 November 2025 bertempat di pekarangan Bangunan Buku Jalanan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Sekretariat BCJK berkata ketika dihubungi Dewan Budaya, program ini menandakan satu dekad perjuangan mendidik dan melindungi anak-anak tanpa dokumen serta keluarga dari kelompok berisiko, BJCK terus teguh sebagai ruang pendidikan dan perlindungan yang kini menjadi “rumah” kepada lebih 100 anak-anak daripada pelbagai latar belakang.

“Sepuluh tahun meniti jalan pendidikan, perlindungan dan pemberdayaan di tengah hiruk-pikuk kota yang tidak pernah tidur. Kami menyaksikan bagaimana anak-anak tanpa nama di atas kertas tetap punya cahaya di mata mereka,” ujarnya.

Pelbagai acara bakal mewarnai sambutan tiga hari itu termasuk Malam Gema Qasidah dan Seni Komuniti, Pameran Sedekad BJCK, Sedekad Fund Run @ KL Car Free Morning, serta siri forum, bengkel dan jualan komuniti yang mempertemukan warga, sukarelawan dan rakan korporat di bawah tema Pendidikan Untuk Semua.

Antara pengisian utama ialah sesi dialog khas Suara Sumud: Dari Chow Kit ke Palestin bersama penulis dan aktivis Sumud Flotilla, Zainal Rashid Ahmad. Selain itu, malam seni dan puisi turut menampilkan The Phenomenal, Cikgu Mulqis, Pitahati, Syafinaz Shazalli, Mukmin Nantang, Satwo Music serta persembahan khas oleh anak-anak dan ibu bapa BJCK sendiri.

Forum utama akan dikendalikan oleh penggerak utama BJCK, Cikgu Rahayu, yang akan berkongsi pengalaman sepanjang satu dekad menguruskan pusat pendidikan komuniti ini. Pelbagai aktiviti sampingan turut disediakan termasuk pemeriksaan kesihatan, urutan refleksologi dan gerai jualan komuniti.

“Sedekad bukan hanya tentang kami tetapi tentang anak-anak yang tidak pernah berputus asa, tentang ibu bapa yang bangkit mencari maruah, tentang masyarakat yang memilih untuk peduli,” menurutnya itu lagi.

Program Sedekad BJCK menjadi simbol penghargaan terhadap perjuangan akar umbi yang berteraskan keadilan sosial, di mana pendidikan tidak dianggap sebagai hak istimewa, tetapi sebagai hak asasi setiap insan.

“Melalui Sedekad BJCK, kami menyeru masyarakat untuk terus bersama. Bukan sekadar membantu, tetapi membina bersama. Keadilan tidak datang daripada simpati, tetapi daripada sistem yang kita ubah bersama,” jelasnya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini program ini melalui tanda pagar rasmi #SedekadBJCK dan #PendidikanUntukSemua di semua media sosial.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi