Diterbitkan pada 4 November 2025, 09:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur — Festival Wayang Kulit Kelantan 2025 menjadi platform penting untuk memperkukuhkan usaha pemeliharaan serta pengkomersialan seni tradisi Melayu.

Program yang diadakan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA),  telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan, baru-baru ini.

Dalam ucapan perasmian, beliau menegaskan bahawa seni wayang kulit perlu dilihat bukan sahaja sebagai warisan budaya tetapi juga sebagai satu bidang ekonomi kreatif yang berpotensi besar.

“Mungkin kegagalan kita melihat wayang kulit sebagai satu bidang perniagaan atau bagaimana kita boleh mengkomersialkannya sampai ke luar negara. kebanyakan rakyat kita sendiri tidak mengetahui betapa kaya dan penuh sejarahnya warisan ini,” ujar beliau.

Beliau turut mencadangkan agar persembahan wayang kulit dipersembahkan di hotel terutama dalam kawasan ibu kota sebagai cara memperkenalkan seni tradisional ini kepada pelancong luar.

“Saya rasa lebih cantik kalau kita mampu memperagakan wayang kulit kita ini di hotel-hotel supaya pelancong tahu betapa kayanya seni budaya kita. Program sebegini memperincikan keseriusan kita untuk memastikan elemen budaya warisan tidak ketara ini dapat dimartabatkan,” tambahnya.

Menurut beliau lagi, kerajaan melalui MOTAC terus komited memperkukuh ekosistem seni dan budaya dengan menyediakan pelbagai inisiatif sokongan kepada penggiat seni.

“Kita menyediakan geran kepada mana-mana persatuan yang mahu memelihara tradisi atau seni ini. Selain itu, sinergi erat antara Jabatan Warisan Negara (JWN) dan ASWARA adalah contoh kerjasama yang kita mahukan. Kita juga mewujudkan Wang Amanah Kebudayaan dan Kebajikan Penggiat Seni (KWAKKPS),” katanya lagi.

Terdahulu, festival tersebut diadakan bersempena sambutan International Day of the Intangible Cultural Heritage anjuran UNESCO

Pelbagai aktiviti diadakan seperti persembahan wayang kulit, forum bicara warisan, pertandingan, bengkel interaktif, pameran dan jualan kraf.

Program ini turut menghimpunkan para dalang, penggiat seni, pelajar serta pensyarah yang komited dalam menghidupkan semula seni tradisional yang kian mencabar kelestariannya.

Festival Wayang Kulit Kelantan 2025 bukan sahaja menjadi ruang apresiasi seni tradisi, tetapi juga medan pembelajaran bagi generasi muda untuk memahami nilai budaya dan potensi ekonomi yang terkandung dalam warisan ini.

Dengan sokongan padu kementerian dan institusi seni seperti ASWARA, seni wayang kulit diyakini akan terus bernyawa, bukan sekadar di pentas tradisi, tetapi juga sebagai simbol ketahanan identiti budaya bangsa di peringkat global.

Dalam semangat yang seiring dengan aspirasi UNESCO, festival ini menjadi bukti bahawa pemeliharaan warisan tidak ketara bukan hanya tanggungjawab nostalgia, tetapi suatu usaha berterusan untuk memastikan nilai-nilai budaya, kreativiti dan kearifan tempatan terus hidup dan berkembang dalam dunia yang serba moden.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi