Diterbitkan pada 20 November 2025, 12:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nakhon Si Thammarat – Lawatan ilmiah ke Muzium Nakhon Si Thammarat oleh Pelajar dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini bukan sahaja membuka ruang pembelajaran baharu, malah memperkukuh kefahaman pelajar tentang kepentingan warisan budaya dan pembangunan mampan.

Program lawatan ini merupakan salah satu komponen utama Program Mobiliti Berteraskan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) yang berlangsung di wilayah ini.

Muzium Nakhon Si Thammarat yang terkenal sebagai antara institusi warisan tertua di Thailand Selatan menyimpan pelbagai koleksi sejarah termasuklah artifak kerajaan lama, manuskrip kuno, tekstil tradisional, seni bina klasik dan bahan arkeologi bernilai tinggi.

Kunjungan pelajar PPPJJ USM ke muzium ini memberikan gambaran menyeluruh tentang asal usul tamadun Nakhon, evolusi budaya masyarakat setempat dan kesinambungan warisan yang masih dipelihara hingga hari ini.

Sepanjang lawatan, para pelajar dibawa menelusuri galeri bertema yang memaparkan perjalanan sejarah dari era Srivijaya, kedatangan pengaruh Hindu-Buddha hinggalah perkembangan komuniti moden.

Hal ini membolehkan mereka menghubungkaitkan aspek sejarah dan budaya dengan kerangka SDGs, khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 11 (Bandar dan Komuniti Lestari) dan SDG 17 (Kerjasama untuk Matlamat).

Seorang peserta program, Nurul Insyirah Abdul Rahim Siva menyatakan bahawa pengalaman tersebut amat berharga kerana memberikan dimensi baharu untuk memahami warisan Asia Tenggara.

“Saya sangat teruja kerana dapat melihat sendiri artifak sejarah yang sebelum ini hanya dibaca melalui buku. Lawatan ini membuka mata saya tentang bagaimana masyarakat di sini menjaga warisan mereka secara sistematik. Hal ini menjadikan kami lebih menghargai budaya serantau serta melihat kaitannya dengan pembangunan lestari,” katanya.

Bagi para pelajar, lawatan ini turut memperkukuh nilai rentas budaya, meningkatkan kemahiran sosial dan mendorong rasa hormat terhadap kepelbagaian identiti masyarakat.

Interaksi dengan pihak muzium serta pemerhatian terhadap cara pengurusan pameran membolehkan mereka memahami bagaimana negara jiran menyusun strategi pemeliharaan warisan sambil tetap memberikan ruang kepada inovasi pendidikan.

Secara keseluruhannya, kunjungan ke Muzium Nakhon Si Thammarat memberikan nilai tambah yang signifikan kepada para pelajar PPPJJ USM yang bukan sahaja memperluas pengetahuan mereka, malah turut memupuk kesedaran tentang tanggungjawab global dalam memelihara warisan, budaya dan komuniti.

Lawatan ini memberikan pengalaman lebih holistik serta melahirkan modal insan yang berfikiran global dan berjiwa lestari.

Program mobiliti ini turut disokong melalui Geran Mobiliti Pejabat Antarabangsa USM dan Inisiatif Naib Canselor USM, YBhg. Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed yang memberikan penekanan khas terhadap pengintegrasian SDGs dalam pengalaman pembelajaran pelajar.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi