Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLangkawi – Program Gali Tubi yang berlangsung dari 15 November 2025 hingga 25 November 2025 di Pulau Langkawi, Kedah diadakan sebagai persediaan menuju Pertandingan Bakat Muda Sezaman ke-29 (BMS29).
Program anjuran Balai Seni Negara ini menghimpunkan sebanyak 30 orang peserta terpilih dan memberikan tumpuan kepada kajian lapangan, pemahaman konteks lokasi serta pembinaan asas penghasilan karya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Balai Seni Negara, sepanjang 11 hari pelaksanaan, peserta diberi pendedahan menyeluruh terhadap naratif sosial, budaya, sejarah dan ekologi Langkawi melalui pendekatan “jelajah”, pemerhatian serta interaksi bersama-sama komuniti setempat.
“Penganjuran ini turut mempertemukan peserta dengan barisan fasilitator berpengalaman merangkumi seniman, kurator, aktivis budaya dan penyelidik termasuklah Wong Hoy Cheong, Erry Arham Azmi, Azzad Diah Ahmad Zabidi, Zikri Rahman, Mark The dan Sharon Chin,” katanya.
Tambahnya, sesi perkongsian khas pula menampilkan Harold Reagan Eswar, Adnan Hasan, Zulkefli Jais dan Izzat Isa.
Jelasnya, peserta turut terlibat dalam aktiviti komuniti bersama-sama Geng Bersih Kampung dan Kebun Lisdtari menjadikan pengalaman bengkel lebih menyeluruh dan bermakna.

“Lawatan ke lokasi cadangan bagi BMS29 seperti Tugu dan Taman CHOGM, Pantai Lagenda, Jeti Pelancongan Kuah, Pulau Tuba, Pulau Pasir, Tapak 0 Kilometer, Pasar Awam Kuah dan Projek Perumahan Rakyat Anggerik Lestari turut diadakan,” maklumnya.
Tambahnya, lawatan ini memberikan peluang kepada peserta untuk menilai potensi setiap ruang serta memahami hubungan antara ruang, komuniti dan naratif setempat, seterusnya memperkukuh pemahaman mereka sebelum menghasilkan karya.
Katanya, peserta turut menjalani sesi refleksi, pemetaan idea dan pembinaan naratif melalui perbincangan bersama-sama fasilitator.
Proses ini merangkumi pemetaan berfasa, perbincangan dalam kumpulan kecil serta sesi Town Hall yang memberikan ruang kepada peserta untuk membincangkan aspek logistik, keperluan penyelidikan dan persiapan awal untuk menempuh pentas BMS29.
Jelasnya, keseluruhan proses ini membantu peserta memperhalus cadangan karya masing-masing secara lebih kritikal dan terarah, selaras dengan konsep BMS29, iaitu “Lokasi Spesifik”.
Balai Seni Negara merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bon Ton Resort atas kerjasama mereka untuk menjayakan program ini kerana peserta turut berpeluang meninjau operasi studio residensi di Bon Ton Resort sebagai sebahagian
daripada pengalaman program.
“Menerusi penganjuran ini, Balai Seni Negara berharap Program Gali Tubi dapat memantapkan persediaan peserta bagi menghadapi Pertandingan BMS29, sekali gus memperkukuh pemahaman mereka terhadap konsep pertandingan pada edisi kali ini,” ujarnya.
Katanya, hasil cadangan karya yang diperhalus sepanjang program ini akan dijadikan asas untuk pemasangan karya peserta yang dijadualkan bermula pada Mac 2026 diikuti dengan sesi penjurian, pengumuman pemenang dan pelancaran pameran pada April 2026.