Diterbitkan pada 13 Februari 2026, 12:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ulanqab merupakan sebuah bandar yang terletak di Mongolia, bersempadan dengan wilayah Hebei di sebelah timur dan wilayah Shangxi di sebelah selatan. Kawasan ini terkenal dengan khazanah alam semula jadi dan keunikan budaya, menjadikannya destinasi pelancongan utama.

Waktu yang bersesuaian bagi mengunjugi Ulanqab adalah pada musim panas, iaitu sekitar pada bulan Julai atau Ogos kerana suhu lebih kurang 20 hingga 28 darjah Celsius. Pada waktu tersebut, padang rumput terbentang luas menghijau persis sebuah hamparan permaidani. Perjalanan dari ibu kota Beijing ke Ulanqab mengambil masa lebih kurang 2 jam 30 minit dengan menaiki kereta api laju.

Stimbot Ketulan Ais dan Taman BaiQuan

Seawal pukul 8 pagi, penulis dan rombongan (kami) sudah berada di Beijing North Railway Station untuk ke Ulanqab. Perasaan kami bercampur baur – teruja dan agak gementar kerana perjalanan tersebut merupakan pengalaman pertama. Setiba di sana, kami melihat padang rumput yang luas menghijau, kawasan bekas kawah gunung berapi yang memukau.

Ulanqab dalam bahasa Mongolia bermaksud “Laluan Gunung Merah”, kaya dengan sejarah tamadun yang berusia lebih kurang 6000 tahun. Tempat tersebut dipercayai melahirkan budaya Chahar dan Dorbod.

Umum mengetahui, tempoh antara bulan Julai hingga Oktober adalah masa yang terbaik untuk pelancong bercuti di Ulanqab. Pada musim ini, kami dapat melepaskan diri dari kepanasan bandar kerana cuaca di sana dalam keadaan sederhana dan pemandangannya sangat indah.

Pada pukul 11.30 pagi, kami  tiba di Ulanqab dan terus ke restoran stimbot tempatan bagi menikmati makan tengah hari. Restoran ini menghidangkan sejenis makanan yang unik, iaitu stimbot ketulan ais.

Stimbot tersebut dihidangkan dalam periuk yang penuh dengan ketulan ais. Dalam periuk tersebut juga terdapat hirisan daging kambing yang dipotong berbentuk kiub. Selepas api di bawah periuk stimbot dinyalakan, ketulan ais akan mencair dan menjadi asas untuk hidangan stimbot.

Menurut masyarakat tempatan, kaedah ini digunakan untuk memasak daging kambing dengan sempurna dan membuatkan daging kambing lebih berjus dan lembut.

Daging kambing di Mongolia mempunyai cita rasa yang enak dan kurang  berbau hamis. Hal ini demikian kerana kambing ternakan yang terdapat di Mongolia dibiarkan berkeliaran secara bebas dan tidak diletakkan dalam kandang peliharaan.

Selain itu, kambing yang terdapat di sana hanya makan rumput sekitar pergunungan Mongolia. Maka, tidak hairan jika provinsi ini merupakan satu daripada provinsi utama sebagai pengeluar daging kambing ke seluruh China.

Selepas menikmati makan tengah hari, kami seterusnya berkunjung ke Taman BaiQuan, iaitu taman sungai putih. Di dalam taman tersebut terdapat sebuah menara yang tingginya 52 meter. Menara ini bernama “Menara Burung Phoenix” dan dibina mengikut gaya seni bina Dinasti Song. Setibanya kami ke puncak menara, pemandangan yang indah dan menakjubkan di seluruh Ulanqab boleh dilihat dari puncak menara.

Menara tersebut berfungsi sebagai menara pemantau bagi mencegah sebarang bencana alam seperti kebakaran hutan, ribut pasir, penggurunan dan sebagainya. Apa yang menarik perhatian kami adalah usaha pentadbiran Ulanqab bagi menangani sebarang musibah yang akan berlaku kelak.

Serba sedikit fakta mengenai Taman BaiQuan:

  • Pada mulanya taman ini adalah sebuah kawasan terbiar dan tidak berpenghuni.
  • Pada setiap kali musim bunga, angin yang kencang akan menerbangkan debu dan batu kecil mengakibatkan ribut pasir.

Oleh hal yang demikian, bagi mengatasi masalah ini, kerajaan China telah memperuntukan 1.5 bilion MNT bagi membina sebuah taman yang dipenuhi dengan pokok-pokok dan bunga-bungaan.

Kini, Taman BaiQuan telah dipenuhi dengan pelbagai spesies pokok dan bunga-bungaan yang indah menjadikan taman tersebut sebagai satu daripada tarikan pelancong yang paling popular.

Selepas turun dari menara, kami melalui pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Di kaki bukit tersebut, terdapat sebuah ladang rusa. Pengunjung boleh membeli semangkuk biji jagung dengan harga 1 MNT untuk memberi makan rusa. Apabila kami meletakkan beberapa biji jagung di tapak tangan, rusa-rusa tersebut akan menjilat biji jagung dengan lidah. Bayangkan permukaan lidah rusa yang kesat dan basah membuatkan kami ketawa kegelian! Itulah pengalaman yang paling menyeronokkan sepanjang kami di sana.

Padang Rumput Ulanqab

Keesokan paginya, kami memulakan perjalanan dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda menuju ke kawasan padang rumput. Satu per satu bangunan kota  menghilang dan digantikan kawasan rumput yang subur menghijau.

Para penternak di Ulanqab menternak pelbagai binatang peliharaan seperti unta, kuda, keldai, kambing, lembu dan kerbau. Ternakan tersebut menjadi tulang belakang kepada industri susu tempatan di Ulanqab. Selain itu, bagi menarik industri pelancongan, kuda dan unta dihiasi pelana yang berwarna-warni khusus untuk menyambut para pelancong yang berkunjung ke sana.

Kami berpeluang untuk menunggang kuda. Semasa menunggang, kuda tunggangan kami bagaikan anak panah yang dilepaskan dari busurnya. Bergerak laju, mengikut deruan angin. Semasa menunggang kuda, kami dapat merasakan angin pergunungan yang segar dan mempunyai bau haruman rumput menghijau yang memberikan suatu perasaan yang belum pernah kami alami sebelum ini.

Setelah itu, kami beralih ke aktiviti grass sliding! Kami menaiki kereta luncur beroda yang berwarna-warni untuk meluncur menuruni lereng hijau yang curam. Luncuran ini amat menakutkan, menggugurkan seluruh jantung!

Teriakan girang kami memecah kesunyian pergunungan. Bahkan, pemandu pelancong sempat mengabadikan momen tersebut di dalam video rakaman. Sesungguhnya, detik tersebut merupakan kenangan yang tidak ternilai.

 Kawah Gunung Berapi dan Menikmati Dingin Malam Ulanqab

Kami meneruskan perjalanan menuju kawasan gunung berapi yang terkenal di Ulanqab. Lebih kurang satu jam menuju ke kawasan Gunung Berapi Wulanhada. Pemandu pelancong memberitahu bahawa terdapat lebih 30 gunung berapi dan tempat tersebut digelar sebagai “Muzium Gunung Berapi Semula Jadi”. Sepanjang perjalanan, kami melihat timbunan batu yang dipanggil aobao oleh penduduk tempatan. Tempat tersebut merupakan tempat untuk bersembahyang kepada langit dan bumi, memohon keselamatan serta kesejahteraan hidup.

Setiap gunung berapi mempunyai bentuk dan kisahnya yang unik dan tersendiri. Contohnya, gunung berapi nombor 5 mempunyai cerita yang paling klasik, mempunyai bentuk yang kelihatan bulat dan kelihatan tegap dilihat dari jauh. Manakala, gunung nombor 6 merupakan gunung berapi yang paling terkenal, iaitu dikenali sebagai “Dapur Alkimia”.

Gunung ini sudah beberapa kali digali oleh pengkaji sejarah dan permukaan gunung berwarna hitam. Pengalaman kami berdiri di tepi gunung ini terasa seolah-olah berada di angkasa lepas dan hanya bunyi angin kuat dan debu yang bertaburan.

Sementara itu, kami juga diberitahu oleh pemandu pelancong bahawa kawasan berhampiran gunung nombor 8 pernah memuntahkan lava yang sejuk dan berubah menjadi batu akik. Namun begitu, pemandu pelancong kami tersenyum sambil berkata bahawa kebanyakan batu akik di sana sudah dikutip oleh penduduk tempatan.

Akhirnya, kami menemui beberapa ketulan batu akik dengan bantuan pemandu pelancong. Setelah berjaya menjumpai batu akik, kami mengambil keputusan untuk pulang. Pada ketika itu, apabila kami mendongak ke langit, matahari perlahan-lahan terbenam di belakang kawasan kawah gunung berapi.

Langit berwarna keemasan dan merah yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Kami semua berasa sangat tenang melihat akan keindahan alam yang amat memukau. Di sepanjang lereng bukit tersebut juga, terdapat bunga liar yang sedang mekar. Sesekali apabila angin bertiup, pokok bunga bergoyang lembut dan udara dipenuhi dengan bau tanah bekas kawah gunung berapi serta rumput segar.

Dalam perjalanan pulang, kami tertidur kerana keletihan. Apabila bangun dari tidur, tanpa kami sedari kami sudah tiba di Pasar Malam Ulanqab. Lampu berkelipan dan suara lagu penduduk tempatan Mongolia memenuhi ruang udara. Di gerai, terdapat pelbagai makanan tempatan seperti daging panggang, teh susu, roti ranggup yang berwarna keemasan dan yogurt.

Diiringi alunan muzik yang merdu, kami mengangkat secangkir cawan dan bersorak, menikmati kehangatan dan semangat penduduk tempatan. Seperti bak pepatah Melayu, “jauh berjalan luas pandangan,” – semakin banyak seseorang mengembara, semakin banyak pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh mengenai perspektif dunia luar.

Pasar Bulu Haiwan dan Makanan Tempatan

Di China, bulu haiwan di Ulanqab antara yang terkenal di China. Oleh itu, pada hari ketiga kami pergi ke Pusat Membeli-belah Bulu Antarabangsa Jining. Terdapat bermacam-macam barangan bulu di tempat tersebut.

Beg tangan, dompet dan anak patung diletakkan dengan kemas. Suasana di situ amat meriah. Kami amat tertarik dengan keramahan dan layanan mesra mereka dan kami sempat membeli beberapa cenderamata sebagai kenangan setelah berhempas-pulas melakukan sesi tawar-menawar dengan penjual di sana!

Kami simpulkan bahawa barangan bulu di Ulanqab amat berkualiti tinggi. Selepas meninggalkan Pusat Membeli-belah Bulu Antarabangsa Jining, perut kami berasa amat lapar. Seterusnya, kami mencari sebuah restoran untuk menikmati kambing panggang tempatan yang istimewa.

Daging kambing yang dipanggang sempurna dan mengeluarkan minyak pangangan, harumannya semerbak dan membuatkan kami menelan air liur beberapa kali. Kami agak bernasib baik kerana pekerja restoran tersebut telah bermurah hati menghadiahkan susu yogurt kepada kami. Enaknya tidak terkira!

Selepas makan malam, kami menaiki teksi ke kedai produk tenusu. Kuih-muih tradisional yang baru dimasak oleh tukang masak pastri menarik perhatian kami. Pekerja di kedai produk tenusu tersebut memberitahu bahawa produk tenusu mempunyai banyak khasiat, antaranya berupaya menguatkan tulang dan meningkatkan sistem imunisasi. Oleh itu, kami telah membeli beberapa biskut susu serta snek-snek lain yang berasaskan susu. Kami juga telah mencuba produk baharu di sana iaitu “Tablet Susu Bluberi”, rasanya sememangnya lazat!

Percutian yang meninggalkan kenangan yang sangat mendalam. Kami bukan sahaja dapat menikmati keunikan hidangan Mongolia, malah merasai sendiri suasana bandar yang hijau dengan tanah lembapnya yang menenangkan.

Pengalaman di padang rumput amat menyeronokkan – meluncur di kawasan rumput, menunggang kuda dan mengutip batu akik di kawasan gunung berapi sememangnya pengalaman yang sukar dilupakan.

Lawatan ke tempat-tempat bersejarah dan pasar malam Ulanqab membolehkan kami menyelami sejarah dan budaya tempatan. Perjalanan singkat ini, walaupun pendek, sungguh bermakna dan padat dengan pengalaman baharu. Ulanqab, bandar yang mempesonakan, sudah pasti meninggalkan kesan yang mendalam dalam ingatan kami.

_______________________

Nadia Ishak merupakan pensyarah bahasa Melayu di Beijing Foreign Studies University, China. Dalam kembara ke Ulanqab, beliau bersama-sama Shi Minhao@Rayyan, Zhan Puyuan@Qalif, Lu Xiaodie@Qaseh dan Lv Jialin@Balqis

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan