Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) kini berperanan sebagai Pusat Sehentian (One-Stop Centre) menerusi penganjuran pameran dan persembahan kebudayaan yang menghimpunkan pelbagai agensi seni, budaya dan warisan negara dalam satu lokasi bersempena dengan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Menurut Tourism Malaysia, inisiatif ini adalah dengan kerjasama MaTiC yang bertujuan memperkenalkan kekayaan warisan, seni visual, kraf tangan, gastronomi tradisional serta persembahan kebudayaan Malaysia kepada pelawat tempatan dan antarabangsa.
Tambahnya, usaha ini sekali gus memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya bertaraf dunia.
“Antara pengisian utama yang diketengahkan dalam program ini termasuklah pengenalan pelbagai makanan warisan Malaysia oleh Jabatan Warisan Negara (JWN), pameran hasil kraf tangan tempatan oleh Kraftangan Malaysia, pameran karya seni artis tempatan oleh Balai Seni Negara, persembahan kebudayaan tradisional oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Istana Budaya, persembahan alat muzik tradisional Malaysia oleh Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), demonstrasi urutan tradisional oleh Persatuan Spa Malaysia (AMSPA), dan pameran serta sewaan Busana Tradisional,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Tuan Chiew Choon Man dalam kenyataan sama berkata, ketika lawatan beliau ke Pusat Sehentian pada 28 Januari 2026 bahawa penubuhan Pusat Sehentian bersempena dengan TMM2026 ini diharap dapat menjadi platform komprehensif yang membolehkan pelawat menikmati pengalaman menyeluruh merangkumi seni, budaya, warisan serta elemen kesejahteraan Malaysia dalam satu kunjungan, selari dengan aspirasi kempen tersebut.
Menurut Tourism Malaysia, pameran dan aktiviti jualan dibuka kepada orang ramai pada setiap hari dari pukul 10.00 pagi hingga 6.00 petang, manakala persembahan kebudayaan dijadualkan berlangsung pada waktu yang telah ditetapkan.
Katanya, orang ramai serta pelawat dijemput mengunjungi MaTiC bagi merasai sendiri keunikan warisan dan kekayaan kebudayaan Malaysia yang berwarna-warni.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang MaTiC di www.matic.gov.my.