Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjong Malim – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Arkib Negara Malaysia (ANM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai langkah strategik memperkukuh kerjasama dalam pemartabatan ilmu, pemeliharaan warisan sejarah dan pembangunan penyelidikan negara.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, majlis menandatangani MoU berkenaan bukan sekadar simbolik perjanjian, sebaliknya menjadi manifestasi komitmen bersama kedua-dua institusi untuk memelihara khazanah sejarah dan identiti negara.
Beliau berkata, UPSI sebagai universiti pendidikan tertua di Malaysia memainkan peranan penting untuk melahirkan pendidik, penyelidik dan pemimpin pemikiran yang memiliki jati diri kukuh serta kefahaman mendalam terhadap sejarah dan warisan negara.
Sehubungan dengan itu, katanya, kerjasama dengan ANM amat signifikan memandangkan institusi berkenaan merupakan badan utama negara dalam pemeliharaan, pendokumentasian serta penyelidikan rekod dan warisan sejarah.

“Usaha ini selari dengan aspirasi UPSI untuk terus menjadi peneraju kebitaraan pendidikan di rantau ini, di samping memperkukuh ekosistem penyelidikan berasaskan ilmu dan warisan,” katanya pada majlis berkenaan di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah pada 3 Februari 2026 yang lalu.
Menurut beliau, MoU tersebut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk melengkapi kepakaran dan sumber melalui pelbagai kolaborasi strategik, khususnya dalam bidang penyelidikan dan penerbitan ilmiah berkaitan dengan sejarah, arkib dan warisan negara.
Selain itu, kerjasama berkenaan turut melibatkan perkongsian kepakaran melalui penganjuran program akademik, latihan, seminar dan bengkel, selain memberikan peluang kepada pelajar UPSI menjalani latihan industri di ANM sebagai pendedahan profesional.
“Saya berharap agar perjanjian ini tidak terhenti di sini sahaja, sebaliknya dapat diterjemahkan melalui pelaksanaan program berimpak tinggi secara berterusan, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya di daerah Muallim terhadap kepentingan memelihara warisan sejarah negara,” ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Pengarah ANM, Encik Zaidin Mohd Noor berkata, beliau berasa amat bangga dengan jalinan kerjasama yang dimeterai antara ANM dengan UPSI yang disifatkan sebagai kesinambungan hubungan strategik kedua-dua institusi sejak tahun 2014.
“Kolaborasi ini merupakan kesinambungan daripada MoU yang pernah dimeterai bagi tempoh tahun 2017 hingga tahun 2020, sekali gus memperkukuh hubungan strategik antara Arkib Negara Malaysia dengan UPSI.

Menurut beliau, idea untuk menandatangani MoU tersebut tercetus apabila kedua-dua pihak melihat kerjasama berkenaan mampu memberikan manfaat besar kepada negara, khususnya dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.
“Melalui kerjasama itu, ANM dan UPSI bukan sahaja dapat memperkasa penyelidikan dan perkongsian kepakaran, malah merancang pelaksanaan projek pendigitalan bahan arkib serta strategi promosi melalui penghasilan kandungan kreatif bagi meningkatkan akses masyarakat kepada dokumen sejarah negara,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Perancangan dan Pengurusan) ANM, Encik Shahlin Ali dan Pendaftar UPSI, Encik Helmi Zaifura Abdul Rahman.