Diterbitkan pada 16 Februari 2026, 16:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sepang – Tourism Malaysia mengorak langkah kerjasama strategik dengan Mitsui Outlet Park KLIA Sepang (MOP KLIA) menerusi pelancaran kempen Kad Privilege Pelancong (TPC) untuk membantu menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Kolaborasi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkuat ekosistem pelancongan Malaysia, dan meletakkan negara kita sebagai destinasi pilihan antarabangsa, khususnya membeli-belah dan gaya hidup.

Majlis yang berlangsung pada 12 Februari 2026 itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),YB Chiew Choon Man, dan disaksikan oleh Menteri dan Timbalan Ketua Misi, Kedutaan Besar Jepun di Malaysia, Encik Daisuke Nihei; Timbalan Setiausaha Agung (Pelancongan) MOTAC, Encik Chua Choon Hwa; Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Pelancongan Malaysia, Encik Lee Thai Hung, serta perwakilan penting dari Mitsui Fudosan Group dan MOP KLIA.

Dalam ucapannya, YB Chiew Choon Man melihat kepentingan kolaborasi awam-swasta sebagai faktor utama menentukan kejayaan TMM2026.

Ujar beliau, lokasi strategik MOP KLIA yang hanya berjarak lapan minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) meletakkannya sebagai pintu masuk utama bagi pelancong antarabangsa yang mencari pengalaman membeli-belah bertaraf dunia.

Tambah beliau, integrasi pengalaman membeli-belah, gaya hidup dan perjalanan menambah nilai signifikan bagi perjalanan pelancong secara keseluruhan, dan semakin memperkuat reputasi Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang komprehensif dan kompetetif.

“Pengenalan kempen TPC di bawah kolaborasi ini berfungsi sebagai katalisator yang kuat untuk kerjasama kerana secara langsung memberikan penghargaan kepada pelancong antarabangsa lantaran memilih Malaysia.

“Inisiatif ini amat selaras dengan tujuan TMM2026 yang berfokus pada peningkatan pengalaman pelancong, memperkuat daya saing destinasi dan mendorong perkembangan pelancongan berterusan melalui kerjasama awam-swasta yang bermakna,” jelas beliau.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Pelaksana, Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia, Encik Masayoshi Saito; Timbalan Pengarah Pelaksana, MOP KLIA, Encik TJ Cheah, dan Pengurus Besar Eksekutif, MOP KLIA, Encik Frankie Lee Chee Lih.

Selaras dengan agenda negara untuk merancakkan semula industri pelancongan dan meningkatkan sumbangannya terhadap ekonomi negara, kolaborasi ini merupakan tonggak penting dalam kempen TMM2026.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi