Diterbitkan pada 17 Februari 2026, 14:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bumi Mikraj dan Komuniti Dakwah Tarbiah dengan kerjasama MTAS Prod. bergabung secara strategik menerbitkan filem Taufan al-Aqsa yang membongkar realiti 7 Oktober 2023 dan menongkah arus naratif barat menerusi layar perak.

Majlis Tayangan Perdana Taufan Al-Aqsa berlangsung semalam di TGV Sunway Putra yang secara rasminya turut mengumumkan pelancaran filem berdurasi kira-kira 30 minit ini.

Taufan Al-Aqsa yang sarat dengan mesej perjuangan bakal mula menemui penonton pada 19 Februari 2026 secara simbolik dengan kehadiran 1 Ramadan 1447 Hijrah.

Membariskan pelakon seperti Aeril Zafrel, Wawa Zainal dan Ungku Hariz, filem pendek aksi drama paling dinanti-nantikan pada tahun 2026 ini bukan sekadar hiburan, malah sebuah naskhah advokasi kemanusiaan.

Filem Taufan Al-Aqsa bakal menemui penonton pada 19 Februari 2026, secara simbolik dengan kehadiran 1 Ramadan 1447 Hijrah.

Penghasilan Taufan Al-Aqsa tercetus daripada keperluan mendesak untuk memberikan perspektif alternatif terhadap peristiwa 7 Oktober 2023 yang sering dimanipulasikan oleh media antarabangsa.

Peristiwa 7 Oktober 2023 telah menggegarkan bumi penjajah Israel, dengan buat pertama kali pejuang Palestin menumbangkan tembok durjana sempadan Gaza-Israel.

Menurut wakil Komuniti Dakwah Tarbiah, dakwaan mengatakan pejuang Palestin sebagai pencetus pembantaian perlu dijawab dengan fakta.

“Kami merujuk dokumentari Al-Jazeera (2025) berjudul “Apa yang Tersembunyi Itu Lebih Besar” dan menterjemahkannya dalam bentuk naratif filem. Kami mahu rakyat Malaysia melihat kebenaran di sebalik tembok Gaza,” ujarnya.

Jelas wakil tersebut lagi, walaupun tempoh penggambaran hanya dilakukan dari 28 Oktober 2025 hingga 1 November 2025, iaitu lima hari, tetapi kualiti visual dan aksi tetap menjadi keutamaan di bawah arahan Azfar Hamdii dan skrip oleh Afiq Jamil.

Taufan Al-Aqsa yang menjalani penggambaran di Setia Alam, Jeram dan Hulu Langat ini menghadapi cabaran besar apabila jadual penggambaran bertembung dengan bencana alam Taufan Senyar yang menyebabkan banjir besar di Shah Alam dan Hulu Langat. Cabaran lain ialah mencari lokasi yang seakan-akan di sana, terutamanya untuk adegan di Kibutz.

“Namun begitu, semangat “jihad seni” memastikan naskhah ini berjaya disiapkan tanpa kompromi pada kualiti, termasuklah adegan aksi yang diselia oleh pengarah seni lagak ngeri, Shaukat,” jelasnya.

Menyedari risiko penapisan dan shadowban oleh gergasi media sosial barat, Komuniti Dakwah Tarbiah mengambil langkah proaktif dengan melancarkan platform penstriman sendiri, iaitu White Stream.

Platform mandiri ini menjamin Taufan Al-Aqsa dapat ditonton tanpa gangguan sekatan dasar luar, sekali gus menjadi wadah bebas bagi kandungan dakwah dan kebenaran sejagat.

Dengan bayaran akses serendah RM10, penonton bukan sahaja berpeluang menyaksikan sejarah yang difilemkan, malah sebahagian daripada hasil kutipan akan disalurkan terus ke tabung bantuan Palestin.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi