Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Kangsar – Kampung Padang Changkat muncul sebagai johan Pertandingan Pesta Panjut Kuala Kangsar (PPKK) 2026, kategori Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKP).
Kampung tersebut menewaskan 12 buah kampung lain, iaitu Kampung Sungai Siput (naib johan), Kampung Sayong Hulu (tempat ketiga), Kampung Sayong Lembah, Kampung Kuala Sayong Hulu, Kampung Kepala Bendang, Kampung Sayong Masjid, Kampung Sayong Tebing, Kampung Menora, Kampung Kubang Pekan, Kampung Bukit Chandan, Kampung Berala, dan Kampung Simpang Tiga Talang.
Bagi kategori Agensi Kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) pula, johan dimenangi oleh Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Daerah Kuala Kangsar.
Turut menyertai kategori ini ialah Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Kangsar, Jabatan Kerja Raya Daerah Kuala Kangsar, Majlis Kebudayaan Daerah Kuala Kangsar, Angkatan Pertahanan Awam Daerah Kuala Kangsar, dan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK).
Semua pelita panjut bagi kategori Agensi Kerajaan dan NGO dipamerkan di Persiaran Sayong, manakala bagi kategori JPKP pula dipamerkan di kampung masing-masing.
Majlis perasmian dan penyampaian hadiah PPKK2026 telah disempurnakan oleh YB Loh Sze Yee, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak di Persisiran Sayong pada 16 Mac 2026.
Majlis tersebut dihadiri oleh kira-kira 20 000 orang pengunjung yang menyerlahkan kemeriahan suasana malam Ramadan di Bandar Diraja Kuala Kangsar.
PPKK2026 merupakan program anjuran MPKK dengan kerjasama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, bersama-sama rakan kolaborasi promosi Tourism Perak, berlangsung pada 15 Mac 2026 dan 16 Mac 2026.
Dengan kos pembiayaan lebih RM30,000, penganjuran PPKK2026 bertujuan menghidupkan semula tradisi pemasangan pelita bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri, di samping memelihara serta memartabatkan warisan budaya tempatan.
Usaha ini bertepatan dengan peribahasa Melayu “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas” yang menggambarkan bahawa warisan dan tradisi masyarakat wajar terus dipelihara agar kekal relevan sepanjang zaman.
Penganjuran PPKK2026 bukan sahaja menceriakan suasana Ramadan, malah terus mengangkat warisan dan tradisi masyarakat setempat yang menjadi antara tarikan unik di Kuala Kangsar.
YB Loh Sze Yee berharap PPKK2026 mampu menarik kedatangan pelancong serta perantau yang pulang ke kampung, dan secara tidak langsung memberikan nilai tambah untuk mempromosi Kuala Kangsar sebagai destinasi pelancongan di Perak.