Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Young Art Entrepreneur (YAE) Kohort ke-11, anjuran Balai Balai Seni Negara (BSN) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia (DDEC), anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (MARA), sampai ke kemuncaknya menerusi Final Pitch Day (Hari Pembentangan Akhir) yang berlangsung di Auditorium BSN pada 31 Mac 2026.
YAE! menunjukkan komitmen BSN untuk memperkasakan ekosistem seni visual dan industri kreatif tempatan. Menerusi pendekatan yang bertumpu pada pembangunan keusahawanan, YAE bertujuan melahirkan usahawan seni muda yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya tahan, sekali gus menyokong keupayaan mereka menjana pendapatan secara mampan menerusi karya, produk dan perkhidmatan kreatif.
Bagi kohort ke-11, sebanyak 20 peserta terpilih daripada pelbagai latar belakang kreatif, termasuklah seni visual, tekstil, kraf dan media digital telah mengikuti program yang berlangsung sejak September 2025.
Sepanjang tempoh berkenaan, peserta melalui proses pembangunan yang menyeluruh merangkumi aspek kreativiti, strategi perniagaan, serta kesiapsiagaan pasaran.
Antara komponen utama YAE! 2025 termasuklah Bengkel Perniagaan dan Penjenamaan yang memberikan penekanan terhadap strategi jenama dan pembezaan pasaran, Sesi Mentor bersama-sama pakar industri dan usahawan berpengalaman, Pembangunan Pitch bagi memperkukuh cadangan perniagaan, serta Persediaan Akses Pasaran yang melatih peserta berinteraksi dengan pelabur dan rakan strategik.
Hari Pembentangan Akhir menjadi kemuncak bagi keseluruhan YAE! 2025 apabila peserta membentangkan idea perniagaan masing-masing di hadapan panel penilai yang terdiri daripada pakar industri, pemain sektor kreatif daripada pihak berkepentingan.
Penilaian dibuat berdasarkan tahap inovasi, kebolehlaksanaan, kekuatan penjenamaan, serta potensi pasaran.
Platform ini bukan sahaja memberikan pendedahan kepada peserta, malah membuka peluang kepada pembiayaan, kerjasama strategik dan pengembangan pasaran pada masa hadapan.
YAE! turut mencerminkan usaha berterusan untuk memperkukuh ekosistem ekonomi kreatif negara dengan merapatkan jurang antara bakat seni dengan keupayaan keusahawanan.
Program ini menjadi landasan penting kepada usahawan seni untuk menterjemahkan idea kreatif kepada perniagaan yang berkesan dan berdaya maju. Menerusi penganjurannya, BSN menekankan kepentingan inovasi, daya tahan dan pemikiran strategik untuk melahirkan generasi baharu usahawan seni yang mampu menyumbang kepada pembangunan budaya, serta ekonomi kreatif negara, dengan HPA menjadi simbol kepada potensi, kreativiti dan masa depan industri seni kreatif Malaysia.