Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus mengukuhkan kedudukannya di persada seni antarabangsa menerusi penganjuran “Echoes of Tradition Recital”, sebuah persembahan muzik eksperimental rentas budaya yang menghimpunkan artis dan penyelidik dari Asia dan Eropah.
Konsert yang berlangsung di Dewan Konsert, Dewan Seri Budiman, UiTM Shah Alam itu mengetengahkan penerokaan unik terhadap cerita rakyat dan landskap bunyi alam semula jadi, yang diolah semula melalui pendekatan muzik kontemporari melibatkan persembahan solo piano, trio piano, elektronik stereo dan visual grafik.
Inisiatif yang diterajui oleh pensyarah kanan Fakulti Muzik, Dr. Ainolnaim Azizol, berjaya menghimpunkan barisan komposer dan pemuzik profesional dari Malaysia, Austria, Thailand dan Jepun, sekali gus menonjolkan gabungan elemen warisan budaya, bunyi alam dan inovasi muzik eksperimen.
Program ini merupakan sebahagian daripada Geran Penyelidikan Artistik ASEA-UNINET 2025–2026 bertajuk “Echoes of Tradition: A Cross-Cultural Artistic Research on Folklore and Natural Soundscapes” yang diterajui oleh University of Music and Performing Arts Vienna dengan kerjasama UiTM dan Chiang Mai University.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UiTM, Profesor Dr. Yamin Yasin, program tersebut mencerminkan komitmen universiti untuk memperkukuh kolaborasi antarabangsa serta inovasi kreatif dalam bidang seni.
“Resital ini bukan sekadar sebuah persembahan, malah manifestasi penyelidikan artistik, iaitu bunyi menjadi medium penyampaian budaya dan proses mendengar menjadi ruang untuk hubungan, refleksi serta pengalaman bersama,” katanya.
Tambah beliau, inisiatif seperti ini turut membuka ruang kepada pelajar dan penyelidik untuk berinteraksi dengan amalan serta perspektif antarabangsa dalam bidang seni dan muzik.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran komuniti diplomatik antarabangsa, termasuk Duta Besar Austria, Sepanyol, Belgium dan Jepun, serta wakil kedutaan dari Thailand dan Hungary yang mencerminkan pengiktirafan global terhadap inisiatif seni yang dilaksanakan.
Turut hadir ialah barisan pengurusan tertinggi universiti termasuk Penolong Naib Canselor (Antarabangsa), Profesor Datin Dr. Norazida Mohamed dan Dekan Fakulti Muzik Profesor Dr. Tazul Izan Tajuddin, sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasakan seni dan diplomasi budaya pada peringkat global.
Penganjuran program ini turut melibatkan kerjasama strategik dengan Universiti Malaysia Sabah, City University (Malaysia), Chiang Mai University serta University of Music and Performing Arts Vienna, dengan sokongan daripada UiTM Global serta Kedutaan Austria dan Sepanyol di Malaysia.
Kejayaan “Echoes of Tradition Recital” membuktikan komitmen berterusan UiTM untuk memperkasa diplomasi budaya, penyelidikan artistik dan pertukaran silang budaya, sekali gus mengangkat muzik sebagai medium universal untuk memperkukuh hubungan antarabangsa.