Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Bicara Pendeta akan diadakan pada setiap bulan di Rumah Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Jalan Belfield, tidak lama lagi.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan yang juga Sasterawan Negara ke-10 dalam ucapan beliau ketika menyempurnakan pelancaran Program Bicara Pendeta di Rumah GAPENA, semalam.
“Penganjuran program Bicara Pendeta ini akan diserahkan kepada pihak GAPENA untuk menjayakannya dengan sebaik mungkin. DBP pastinya memberikan kerjasama terbaik,” katanya.
Bicara Pendeta bertujuan untuk memartabatkan sastera dan pemikiran, seiring dengan fokus GAPENA mengangkat isu maruah bangsa dalam sastera, selain menjadi platform wacana intelektual, perbincangan sastera dan mengangkat karya serta pemikiran pendeta atau penulis
Pelancaran program tersebut diadakan serentak dengan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri GAPENA 1447H yang disertai oleh 20 buah badan gabungan GAPENA bersama-sama sahabat, rakan strategik, rakan sekerja dan rakan karyawan.
Bersempena dengan pelancaran program berkenaan, Bicara Pendeta buat kali pertama diadakan dengan judul “Tamadun dan Peradaban: Satu Perbandingan” yang dijayakan oleh YBhg. Profesor Dr. Supyan Hussin, Felo Penyelidik Utama, Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pembicara.
Yang turut hadir ialah SN YBhg. Dato’ Rahman Shaari; Pengarah Bahagian Pengukuhan Seni dan Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Encik Saiful Khairi Ahmad; Ketua Pengarah JKKN, Encik Mohd. Amran Mohd. Haris; dan Timbalan Presiden GAPENA, Encik Zainal Jais.