Diterbitkan pada 20 April 2026, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) edisi ke-9 memperkenalkan tema Resonance yang melihat sinema sebagai suatu kuasa yang berterusan melampaui jasad dan rohani kita walaupun selepas filem tamat.

Resonance meletakkan sinema sebagai suatu pertukaran kehidupan, iaitu cerita boleh melangkaui layar lalu hadir dalam perbualan yang tercetus, empati yang dibina, serta persoalan moral yang terus bergetar halus, kemudian semakin kuat, merentasi sempadan dan generasi.

MIFFest juga turut memperkenalkan barisan duta bagi tahun 2026 yang mencerminkan gabungan dinamik antara individu berpengalaman dengan pengaruh baharu dalam landskap kreatif Malaysia.

Barisan duta pada tahun ini menampilkan Jack Tan, pelakon filem sensasi Abang Adik (2023) dan Zizan Razak yang membawa tenaga segar serta perspektif baharu kepada MIFFest9. Mereka bergandingan dengan Daiyan Trisha yang kembali untuk tahun kedua, serta Bront Palarae yang kekal bersama-sama MIFFest untuk tahun ketujuh berturut-turut.

Gabungan rentas generasi ini melambangkan semangat sinema Malaysia yang terus berkembang, menghubungkan seni, industri dan penonton secara lebih bermakna.

Dalam sidang media di Parkroyal Collection Kuala Lumpur baru-baru ini, MIFFest9 mengumumkan beberapa acara yang menjadi tumpuan utama, selain hotel tersebut merupakan hotel rasmi MIFFest9.

Festival yang akan berlangsung dari 18 Julai hingga 25 Julai 2026 di GSC MyTOWN Shopping Centre ini merupakan hasil kerjasama dengan GSC International Screens sebagai rakan pawagam rasmi.

Disokong oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebagai rakan strategik, MIFFest terus memperkukuh kedudukannya sebagai wahana utama bagi pertukaran sinematik dan dialog budaya di rantau ini.

Menurut pengasas dan Presiden MIFFest, Puan Joanne Goh, filem tidak berakhir apabila layar menjadi gelap, sebaliknya terus bergema dalam perbualan, ingatan dan harapan senyap sunyi mereka yang mencari maruah dan kebenaran.

“Di MIFFest, gema ini bertemu, memperkasakan dan memberikan nyala berani kepada para penglipur lara dan mengangkat kesegeraan suara mereka,” katanya.

Puan Joanne Goh, pengasas dan Presiden MIFFest.

Berteraskan warna ungu yang melambangkan kedalaman, refleksi diri dan transformasi, visual utama pada tahun ini menampilkan gelombang mengalir yang dibentuk oleh pantulan cahaya dan lensa, menggambarkan gema sinema serta pengaruhnya yang lirih, tetapi berkekalan terhadap masyarakat.

MIFFest edisi ke-9 juga memperkenal kerjasama baharu dengan Kampong Film Lab, sebuah inisiatif oleh Jogja-NETPAC Asian Film Festival (JAFF) yang menumpukan pada pembangunan pembikin filem baharu melalui bimbingan, latihan serta pembangunan projek secara praktikal.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, MIFFest9 akan memperkenal program berfokuskan kecerdasan buatan (AI) untuk pembikin filem baharu di platform MIFFest dan JAFF.

Inisiatif ini bertujuan meneroka peranan AI yang semakin berkembang dalam pembikinan filem, di samping menggalakkan pendekatan kreatif baharu serta memperkukuh pembangunan bakat serantau.

MIFFest terus memperkukuh peranannya sebagai platform pertukaran antarabangsa dengan mempererat kerjasama jangka panjang bersama-sama High Commission of India in Kuala Lumpur (HCIKL), dan Ministry of Information and Broadcasting of India.

Kerjasama ini mengukuhkan kedudukan MIFFest sebagai platform penting untuk mempamerkan sinema India di Malaysia, sambil mewujudkan peluang bermakna untuk mengetengah pembikin filem, bakat baharu, serta penceritaan silang budaya antara kedua-dua negara.

MIFFest juga terus memperluas pengaturcaraan antarabangsanya melalui kerjasama baharu dengan ROSKINO, organisasi kerajaan yang mewakili industri kandungan audiovisual Rusia di pasaran antarabangsa, dan Menteri Kebudayaan Persekutuan Rusia, untuk sebuah program khas, Minggu Filem Rusia bersempena dengan MIFFest9.

Selaras dengan piawaian kuratorial MIFFest, filem terpilih terdiri daripada judul terkini bagi 2025 hingga 2026, dengan setiap filem ditayangkan sekali di sepanjang tempoh MIFFest9.

MIFFest ke-9 turut mengalu-alukan Mah Sing Group sebagai Penaja Festival, dan Trident Global Holdings sebagai Penaja Rasmi, bersama-sama Sungei Wang Plaza dan Mega Star Arena sebagai Rakan Tempat Rasmi bagi Malaysia Golden Global Awards (MGGA) yang akan berlangsung pada 25 Julai 2026.

Ikuti perkembangan lanjut di jazzygroup.com, untuk maklumat terkini. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.miffest.com.my, dan ikuti MIFFest di media sosial rasmi untuk kemas kini terkini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi