Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Anak-anak melihat apa-apa yang kita baca dan mereka akan percaya dan yakin bahawa ekosistem itu (budaya membaca) wujud dari rumah, dan budaya ini mesti diteruskan dalam masyarakat.”

Demikian ucapan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek ketika ditemu bual oleh media selepas hadir merasmikan Majlis Pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan 2026 bersempena dengan Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia Peringkat Kebangsaan di Perpustakaan Kuala Lumpur pada pagi tadi.
Menurut YB Fadhlina Sidek, anak-anak lebih cenderung mencontohi tingkah laku ibu bapa termasuklah tabiat membaca. Hal ini sekali gus menjadikan rumah sebagai asas penting untuk membina budaya ilmu.
Jelas beliau,
Apabila mereka melihat di dalam rumah itu sendiri sudah ada bahan bacaan, buku dan perpustakaan kecil, jadi saya sangat percaya budaya itu boleh terus diwujudkan.

Sementara itu, dalam majlis yang sama turut berlangsungnya program “Jom Baca Bersama untuk 10 Minit” yang mengangkat tema pada tahun ini, iaitu “Membaca Membina Bangsa” dan majlis pelancaran Papan Pemuka Peta Malaysia Membaca.
Jelas YB Fadhlina Sidek lagi,
Hari ini kita raikan Hari Buku dan Hak Cipta untuk menyemarakkan budaya membaca dan penekanan itu (budaya membaca) sangat penting kepada generasi muda.
Yang kedua, bagi melindungi penulis dan pengkarya yang telah mencurahkan idea dan tenaga untuk menghasilkan karya yang sangat penting untuk negara dan bangsa.
Yang ketiga ialah inisiatif berterusan yang harus kita beri perhatian bagi memastikan negara ini dibina dengan asas, iaitu ilmu dan bahasa seperti yang diucapkan oleh YAB Perdana Menteri sebelum ini.
Selain wajib menguasai bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, murid juga digalakkan untuk mempelajari bahasa lain seperti bahasa Mandarin dan bahasa Tamil bagi memperluas keupayaan komunikasi, serta akses kepada pelbagai bahan bacaan.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Yang Berbahagia (YBhg.) Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan), YBhg. Dato’ Wan Hashim Wan Rahim; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), Dr. Rusmini Ku Ahmad; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Puan Adibah Omar.