Diterbitkan pada 25 April 2026, 07:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh – Peranan buku dan perlindungan hak cipta terus menjadi tunjang penting bagi memastikan kelestarian ilmu, khususnya pada era digital yang semakin mencabar dan kompleks.

Perkara itu dibincangkan secara mendalam dalam Forum Kepustakaan bertemakan “Buku dan Hak Cipta sebagai Teras Kelestarian Ilmu dalam Era Digital” yang menjadi antara pengisian program Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Zon Utara yang berlangsung dari 23 April hingga 26 April 2026 di Stadium Indera Mulia, Ipoh.

Program tersebut menampilkan panel yang terdiri daripada Pengarah Bahagian Hak Cipta Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), YBrs. Encik Noor Aliff Musa serta Penolong Pengarah Unit Pengurusan Sumber Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, YBrs. Encik Shairiman Badzri.

Mengulas tentang peranan MyIPO, Encik Noor Aliff menjelaskan bahawa badan tersebut bertanggungjawab sebagai pentadbir utama dalam perlindungan dan pendaftaran harta intelek di Malaysia.

Katanya, harta intelek merangkumi aset tidak ketara seperti idea, karya, reka bentuk, logo dan ekspresi kreatif yang mempunyai nilai ekonomi, serta perlu dilindungi secara sah.

“Harta intelek ini berbeza daripada aset fizikal seperti tanah atau kenderaan kerana sifatnya yang tidak ketara (intangible), namun mempunyai nilai yang tinggi.

“Sebagai contoh, logo organisasi, karya penulisan dan produk kreatif semuanya boleh dilindungi melalui sistem hak cipta dan cap dagangan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa perlindungan hak cipta bukan sahaja terhad di dalam negara, malah turut melibatkan perlindungan antarabangsa melalui perjanjian seperti Konvensyen Berne (Berne Convention for the Protection of Literary and Artistic Works 1886) yang memastikan karya tempatan dilindungi di negara anggota lain.

YBrs. Encik Noor Aliff Musa, Pengarah Bahagian Hak Cipta Perbadanan Harta Intelek Malaysia, menyampaikan pandangan tentang cabaran perlindungan karya dalam era digital dan perkembangan kecerdasan buatan (AI).

Menurutnya, dalam konteks semasa, cabaran utama yang dihadapi ialah perkembangan teknologi digital termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan karya.

Isu seperti pemilikan dan kelayakan karya yang dijana menggunakan AI menjadi perdebatan utama pada peringkat global.

“Dalam undang-undang sedia ada, hanya individu atau organisasi yang diiktiraf sebagai pencipta.

“Namun begitu, dengan kemunculan AI, timbul persoalan sama ada karya yang dihasilkan sepenuhnya atau sebahagiannya oleh teknologi ini layak mendapat perlindungan hak cipta ataupun tidak layak,” jelasnya.

Beliau menambah bahawa Malaysia masih meneliti pendekatan terbaik untuk menangani isu tersebut, selari dengan perkembangan di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun yang turut berhadapan dengan dilema yang sama.

Sementara itu, Encik Shairiman menekankan bahawa dunia pendidikan tidak boleh dipisahkan daripada perkembangan teknologi, khususnya selepas pandemik COVID-19 yang menjadi pemangkin kepada transformasi digital dalam sistem pembelajaran.

Menurut beliau, sektor pendidikan khususnya guru memainkan peranan besar bagi memastikan kesinambungan pembelajaran ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), termasuk menggunakan pelbagai platform digital seperti video, aplikasi interaktif dan media sosial.

“COVID-19 menjadi titik perubahan besar dalam pendidikan. Guru-guru terpaksa belajar dengan pantas menggunakan teknologi seperti video pembelajaran, aplikasi dalam talian dan media sosial. Oleh itu, banyak dalam kalangan guru ini yang sanggup melabur wang sendiri untuk melanggan aplikasi demi memastikan pembelajaran terus berjalan,” katanya.

YBrs. Encik Shairiman Badzri, Penolong Pengarah Unit Pengurusan Sumber Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, berkongsi tentang peranan teknologi pendidikan untuk mengimbangi penggunaan bahan digital dan budaya membaca buku.

Tambah beliau, walaupun teknologi semakin berkembang, budaya membaca buku fizikal masih kekal relevan.

Perkara ini terbukti apabila sambutan terhadap Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) terus menggalakkan selepas pandemik, dengan kehadiran pengunjung yang kian meningkat saban tahun.

“Banyak individu menyangka era digital akan menenggelamkan buku bercetak, tetapi realitinya kedua-duanya bergerak seiring.

“Buku memberikan pengalaman berbeza, termasuk nilai emosi dan sentuhan yang tidak dapat digantikan oleh skrin digital,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi bahawa perpustakaan sekolah kini telah berevolusi menjadi pusat sumber yang lebih interaktif dan mesra pelajar, serta menjadi ruang pembelajaran kreatif yang menggabungkan teknologi dan bahan rujukan.

Pada masa sama, Encik Shairiman turut mengupas isu pelanggaran hak cipta seperti fotostat bahan tanpa kebenaran turut dibangkitkan sebagai cabaran yang masih berlaku, khususnya dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi.

Oleh itu, beliau menegaskan kepentingan penggunaan bahan sah seperti buku digital berlesen bagi menghormati hak penulis.

Forum tersebut turut menyentuh evolusi penyebaran ilmu bermula daripada era lisan, revolusi percetakan oleh Gutenberg, sehinggalah kepada era Internet dan kini kecerdasan buatan.

Perubahan ini menunjukkan bahawa ilmu sentiasa berkembang seiring dengan teknologi, namun prinsip asas seperti penghormatan terhadap karya perlu terus dipelihara.

Mengakhiri forum, kedua-dua panel menekankan bahawa keseimbangan antara akses kepada ilmu dengan perlindungan hak cipta perlu dicapai bagi memastikan kelestarian ekosistem ilmu yang sihat dan mampan.

Encik Noor Aliff menyeru masyarakat supaya lebih peka terhadap kepentingan mendapatkan kebenaran sebelum menggunakan karya orang lain, sama ada melalui pelesenan ataupun bentuk kebenaran lain yang sah.

“Tidak semua perkara memerlukan kebenaran, tetapi dalam banyak keadaan, keizinan ini penting bagi memastikan hak ekonomi dan moral pencipta terus terpelihara,” katanya.

Sementara itu, Encik Shairiman menggesa ibu bapa, guru dan pelajar untuk terus menyemai budaya membaca, serta menghargai buku sebagai sumber ilmu utama.

“Teknologi tidak boleh dihalang, tetapi kita perlu belajar untuk bergerak seiring dengannya. Pada masa yang sama, buku tetap menjadi asas penting yang membentuk pemikiran dan jati diri,” katanya.

Forum tersebut dilihat membuka ruang perbincangan yang lebih luas tentang masa depan buku dan hak cipta dalam dunia digital, sekali gus memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan melindungi karya demi kelestarian ilmu dan tamadun.

Forum ini diadakan bersempena dengan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang diadakan pada 23 April setiap tahun.

Forum Kepustakaan bertemakan “Buku dan Hak Cipta sebagai Teras Kelestarian Ilmu dalam Era Digital” merupakan pengisian dalam program Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Zon Utara yang berlangsung dari 23 April hingga 26 April 2026 di Stadium Indera Mulia, Ipoh.
Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi