Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar — Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengalu-alukan kehadiran masyarakat ke Perlis bagi menyemarakkan pelbagai program yang berlangsung hujung pada hujung minggu ini.
Acara tersebut merangkumi program keagamaan, sukan, agropelancongan, kebudayaan, serta promosi kraf tempatan bagi menarik penyertaan masyarakat dan pengunjung luar.
Baginda bertitah, program tersebut sebagai permulaan kepada Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang ke-84 pada 17 Mei 2026.
“Antara yang menjadi tumpuan termasuklah program Perkampungan Sunnah Siri ke-11 Tahun 2026 bertemakan ‘Zikrullah: Menghidupkan Sunah, Mendapatkan Fadilah’ yang berlangsung dari 24 April hingga 26 April di Masjid Alwi,” titah baginda.
Titah baginda, “Acara Perlis International Marathon 2026 turut diadakan pada 25 April bermula di Stadium Tuanku Syed Putra selepas beberapa tahun tidak dianjurkan berikutan pandemik COVID-19.”
Baginda turut bertitah bahawa Perlis Agrofest 2026 yang berlangsung dari 24 April hingga 26 April di Sungai Batu Pahat menghimpunkan pelbagai aktiviti termasuk Hari Peladang, Penternak dan Nelayan serta Festival Mangga Harum Manis dalam satu penganjuran bersepadu.
“Promosi Promosi Kraf Malaysia 2026 @ Perlis pula berlangsung dari 24 April hingga 3 Mei di Kangar Jaya Mall dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam bagi menyokong dan mengangkat martabat produk kraf tempatan.”
Titah baginda lagi, persembahan pentas Menempa Tari Tradisi 2026: Di Kota Kayangan turut diadakan pada 24 April dan 25 April di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perlis bermula pada pukul 8.30 malam.
“Majlis Amal Gemilang PISKANITA 2026 bertemakan ‘Majestic Red Carpet Gala’ akan berlangsung pada 25 April 2026 di Dewan Ilmu Universiti Malaysia Perlis, Kampus Alam Pauh Putra,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Alwi.
Turut berangkat sama ialah DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Baginda berdua turut berkenan menyempurnakan agihan zakat MAIPs kepada 30 orang asnaf terpilih dengan jumlah keseluruhan RM21,000.