Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – Makanan tradisional berperanan sebagai medium penting yang menyatukan masyarakat majmuk di negara ini.
Perkara tersebut ditegaskan oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara, YB Yuneswaran Ramaraj ketika merasmikan Majlis Pelancaran Buku Ilmu Gastronomi Melayu: Puri Kencana Perpustakaan Negara Malaysia di Stadium Indera Mulia, semalam.
Beliau berkata, gastronomi merupakan “bahasa universal” yang mampu merapatkan jurang perbezaan kaum, agama dan latar belakang sosial dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menurutnya, budaya berkongsi makanan seperti dalam amalan rumah terbuka ketika musim perayaan jelas membuktikan makanan mampu menyatukan masyarakat dalam suasana harmoni.
“Di meja makan, kita tidak lagi melihat perbezaan. Juadah seperti ketupat, rendang dan pelbagai kuih tradisional dikongsi bersama, sekali gus memperkukuh ikatan perpaduan,” katanya dalam ucapan perasmian.
Majlis tersebut dianjurkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bersempena dengan Sambutan Minggu Perpaduan Zon Utara 2026 dan Dekad Membaca Kebangsaan Zon Utara, sebagai sebahagian usaha memartabatkan warisan ilmu dan budaya bangsa.
Pada masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada penulis buku berkenaan, YBhg. Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad dari Universiti Putra Malaysia (UPM), atas komitmen menghasilkan karya ilmiah yang mengangkat manuskrip kulinari Melayu ke tahap yang lebih tinggi.
Menurut beliau, penerbitan buku tersebut menelusuri sejarah, falsafah, serta nilai di sebalik setiap hidangan tradisional yang diwarisi sejak turun-temurun.
Pemahaman terhadap aspek tersebut, katanya, mampu memupuk penghargaan terhadap kepelbagaian budaya yang membentuk identiti kebangsaan.
“Apabila kita memahami asal-usul sesuatu hidangan, kita sebenarnya belajar menghargai silang budaya yang menjadi asas kepada perpaduan negara. Inilah formula terbaik untuk mengurangkan defisit sosial dalam masyarakat,” jelasnya.

Selain memperkukuh perpaduan, beliau menegaskan bahawa gastronomi Melayu juga mempunyai potensi besar dalam sektor ekonomi, khususnya melalui pelancongan gastronomi.
Katanya, pelancong masa ini bukan sahaja ingin melihat keindahan fizikal sesebuah negara, bahkan turut mahu merasai pengalaman budaya yang autentik melalui makanan tempatan.
Dengan adanya buku berunsur ilmiah seperti ini, penggiat industri kulinari termasuk cef, pengusaha restoran dan pencipta kandungan boleh menjadikannya sebagai rujukan bagi mempromosikan masakan warisan Malaysia ke peringkat antarabangsa.
“Masakan tradisional kita mempunyai nilai prestij dan penceritaan yang kuat yang akan memberikan kelebihan kepada Malaysia untuk menonjolkan identiti unik di pentas global,” katanya lagi.
Pada masa yang sama, usaha penerbitan buku ini turut dilihat selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemampanan, daya cipta serta penghormatan terhadap warisan bangsa.
Beliau menyifatkan peranan PNM bukan sekadar sebagai pusat penyimpanan bahan bacaan, tetapi sebagai institusi aktif bagi melestarikan dan menyebarluaskan ilmu kepada masyarakat.
Majlis pelancaran tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian, termasuk sesi sembang buku bersama-sama penulis, demonstrasi masakan tradisional oleh YBrs. Cef Dr. Liza Zainol, serta pameran manuskrip dan buku nadir berkaitan dengan gastronomi Melayu daripada koleksi PNM.
Program tersebut bertujuan untuk mengangkat gastronomi Melayu sebagai khazanah ilmu bernilai tinggi, menjadikan manuskrip Melayu sebagai sumber rujukan ilmiah yang relevan, serta menghubungkan dunia akademik, industri dan masyarakat dalam satu platform perkongsian ilmu.
Mengakhiri ucapannya, YB Yuneswaran menyeru generasi muda agar terus meneroka dan mempelajari warisan gastronomi negara sebagai sebahagian daripada identiti nasional yang perlu dipelihara sebagai salah satu tiang seri pengukuhan perpaduan negara.