Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Ketika negara sedang berdepan dengan permasalahan rasuah yang sedang meruncing, sesuatu perlu dilakukan bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang bahayanya perbuatan tersebut termasuklah melalui pementasan teater.
Hal ini kerana melalui pementasan secara berdepan, masyarakat akan lebih mudah memahami tentang isu yang sedang melanda dan mereka dapat bersama-sama memberi pendapat.
Inilah usaha yang sedang dilakukan oleh CTRA Production dengan kerjasama Jawatankuasana Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) apabila memilih teater Bahara Emas untuk dipentaskan semula.
Teater yang berkonsep purbawara dan mengambil kisah daripada naskhah Sejarah Melayu itu ditulis dan pernah diarahkan oleh oleh Allahyarhamah Rosminah Tahir akan mengadakan jerayawara selama enam bulan mulai Julai ini.
Menurut Penerbit Bahara Emas, Siti Rohayah Atan, teater tersebut pernah dipentaskan di bawah terbitan bersama SPRM pada tahun 2017 di Auditorium DBP Kuala Lumpur sebagai satu daripada program sambutan 50 tahun badan tersebut.
“Kali ini lokasi yang dipilih adalah beberapa institusi pengajian tinggi kerana di sinilah akan lahir bakal pemimpin masa depan yang mana mereka perlu diberikan pendedahan tentang bahayanya rasuah,” katanya.
Menurut beliau, idea mementaskan teater tersebut telah dibincangkan sejak awal penubuhan JKMR tahun lalu bersama bekas pengerusinya, YB Datuk Shahar Abdullah dan bekas Senator Dewan Negara, YB Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan.
“Kami telah mengadakan pelagai perbincangan dan mesyuarat sejak Mei tahun lalu bersama SPRM, JKMR dan MOTAC bagi memastikan projek ini dilaksanakan di landasan yang betul agar tujuannya sampai kepada rakyat.
“Pihak produksi sangat beruntung kerana walaupun YB Datuk Shahar sudah tidak lagi menjadi pengerusi JKMR apabila dilantik menjadi Timbalan Menteri Ekonomi namun beliau tetap mengambil tanggungjawab sebagai Penasihat Utama,” tegasnya.
Menariknya teater yang berdurasi dua jam di bawah arahan Zaifri Husin itu akan menggunakan dua bahasa, iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagaimana yang dicadangkan oleh Menteri Pelancongan YB Datuk Seri Tiong King Sing.
Teater yang disampaikan secara dwibahasa ini sebagai sebagai salah satu inisatif menyokong kempen dan program Tahun Melawat Malaysia 2026 serta memberikan peluang kepada pelancong luar untuk lebih memahami inti ceritanya.
“Penyampaian dalam dua bahasa adalah idea yang sangat menarik daripada seorang menteri kebudayaan kerana mementaskan teater berkonsep purbawara dalam bahasa Inggeris sangat jarang dilakukan, malah hampir tiada.
“Teater sebegini adalah satu proses yang sangat panjang dan memenatkan tapi bermanafaat bagi perkembangan seni persembahan di negara ini terutamanya di kalangan generasi muda untuk lebih mendalami seni tradisional purbawara,” tambah beliau.
Bahara Emas mengisahkan tentang pengkhianatan dan rasuah yang dilakukan oleh pemimpin dan rakyat seperti Kitul dan Mendeliar terhadap Melaka sehingga negeri itu jatuh ke tangan Portugis.
Sebanyak 30,000 penonton dijangka akan menyaksikan teater tersebut yang akan dipentaskan di DBP Kuala Lumpur, Universiti Perguruan Sultan Idris (Perak), Univeristi Malaysia Pahang (Pahang), Universiti Teknologi Malaysia (Johor), Universiti Malaysia Sabah (Sabah) dan Universiti Malaysia Sarawak (Sarawak).
Bersempena dengan pementasan tersebut pelbagai aktiviti sokongan telah dirancang termasuklah sidang keilmuan, dialog, bengkel teater, reruai jualan dan pameran.