Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama strategik Kedutaan Besar Republik Peru di Malaysia menganjurkan Pameran The Great Inca Empire: Integration and Diversity.
Menurut KPN, penganjuran ini merupakan inisiatif utama bagi memperingati sambutan Ulang Tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Republik Peru yang terjalin sejak 24 April 1986.
“Program ini bertujuan untuk memperkukuh diplomasi kebudayaan di samping memperkenalkan keagungan Tamadun Inca sebagai salah satu warisan sejarah terpenting dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, ujarnya, inisiatif ini turut berperanan sebagai platform pembudayaan ilmu untuk meningkatkan kefahaman masyarakat Malaysia terhadap kepelbagaian budaya antarabangsa.
KPN berkata, pengisian pameran merangkumi dua segmen eksklusif, iaitu The Great Inca Road (Qhapaq Ñan) dan Peruvian Chroniclers in the 16th Century.
Maklumnya, The Great Inca Road (Qhapaq Ñan) menampilkan dokumentasi visual sistem jalan raya purba yang merentasi kawasan seluas kira-kira dua juta kilometer persegi dengan jarak keseluruhan mencecah 40,000 kilometer.
Tambahnya, tapak ini telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2014.
Peruvian Chroniclers in the 16th Century mengetengahkan perspektif tokoh pribumi, Felipe Guaman Poma de Ayala, tentang transformasi sosial dan budaya semasa era Empayar Inca serta kesan penjajahan Sepanyol pada abad ke-16 Masihi,” katanya.
KPN menyeru orang ramai untuk merebut peluang menghadiri pameran ini sebagai wadah memperluas pengetahuan serta meningkatkan apresiasi terhadap sejarah dunia dan warisan tamadun negara lain.
Ujarnya, pendedahan ini bukan sahaja memperkaya pemahaman terhadap kepelbagaian budaya global, malah menyuburkan nilai saling menghormati serta memperkukuh jalinan persefahaman antara masyarakat pelbagai latar budaya.